MERIAH. Lebih 1,000 peserta dijangka menyertai pertandingan memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2019 kali ke-8 siri kedua yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM20,000 di Taman Tasik Metropolitan, Batu esok.
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd. Nazam Harun berkata, program itu bertujuan menambah semangat rasa cinta kepada Wilayah Persekutuan selain memastikan keharmonian serta perpaduan warganya terus dikekalkan demi kesejahteraan bersama.
“Juara pertandingan membawa pulang RM6,000 diikuti RM2,000 untuk naib juara dan ketiga bakal memperoleh RM1,000,” katanya.
Sempena program itu, lebih 1 tan ikan pelbagai spesies seperti tongsan, belida dan toman bersaiz 10 hingga 15 kilogram dilepaskan untuk dinaikkan oleh kaki pancing.











