HANOI 28 Feb. – Persidangan nuklear kedua antara Amerika Syarikat-Korea Utara di sini berakhir secara mengejut tanpa sebarang perjanjian ketika Presiden Donald Trump mendakwa beliau memutuskan untuk ‘berlalu’ di sebalik tuntutan pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un yang mahu sekatan ke atas negara itu digugurkan.
Trump berkata, beliau maklum bahawa Jong-un berikrar untuk tidak meneruskan ujian peluru berpandu balistik dan nuklear Pyongyang.
“Adakalanya anda perlu berlalu dan ia hanyalah satu daripada masa lalu.
“Secara asasnya mereka mahu sekatan itu ditarik balik secara keseluruhannya dan kita tidak boleh berbuat demikian,” kata Trump hari ini.
Namun Trump menegaskan, beliau tetap yakin kemajuan dicapai sebelum ini dan semasa persidangan itu membuatkan mereka dalam kedudukan untuk mencapai keputusan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Saya perlu membuatnya dengan betul berbanding melakukannya secara terburu-buru,” katanya.
Namun Trump menolak akan ada persidangan ketiga dengan pemimpin Pyongyang itu di sebalik penegasan hubungan rapat mereka.
“Kami menyukai antara satu sama lain, ada kehangatan dan saya harap ia akan kekal,” kata Trump.
Terdahulu ketika pertemuan diadakan, Jong-un memberi jaminan mengenai kehadiran tetap diplomatik AS di Pyongyang, manakala Trump menegaskan bahawa beliau tidak ‘terburu-buru’ untuk mencapai persetujuan dengan negara itu mengenai program nuklear mereka.
Trump berkata, beliau menyambut baik cadangan untuk membuka pejabat perhubungan AS di Korea Utara. – AFP










