BUKAN tidak pernah ditanya mengenai keinginannya untuk berumah tangga sekali lagi sebelum ini.
Apa lagi sebagai seorang orang yang dikenali umum, Maya Karin adakalanya berasa lelah untuk memberikan jawapan yang sama setiap kali ditanya.
“Seseorang yang istimewa? Belum ada lagi,” begitulah kata ringkas yang diberikan.
Tidak menolak hasrat untuk berkahwin lagi Maya memegang kepada prinsip, cinta atau jodoh itu tidak seharusnya datang dengan rasa dipaksa-paksa.
Malah dia berpandangan, bahagia juga tidak semestinya harus diukur dengan perkahwinan.
“Apa salahnya jika seseorang wanita berstatus janda seperti saya masih belum bertemu jodoh lagi? Tahu tak, di luar sana ada lebih banyak perkara dan bahagia yang boleh dicari selain perkahwinan?

“Saya tak pernah bersedih hidup begini. Tetapi itu tidak bermaksud saya tak mahu berkahwin. Jodoh sebenar belum sampai barangkali,” katanya tertawa.
Merasakan perkahwinan kedua baginya adalah lebih menakutkan berbanding pertama, timbul kebimbangan di hatinya andai sekali lagi dia menemui kegagalan.
Sedar bahawa perkahwinan bukan mainan, si jelita ini tetap positif dengan takdir Tuhan menjadikan dirinya seorang wanita berstatus janda.
“Bukannya Tuhan tidak pernah menggerakkan hati, tetapi Dia beri macam-macam tanggungjawab lain pada saya daripada menjadi cuma seorang suri rumah atau isteri seseorang.
“Kita bukan hidup macam 200 tahun lalu misalnya kerana sekarang ada banyak peluang untuk kaum hawa. Nak buka syarikat sendiri, nak memanjat gunung Everest atau mahu jadi seorang pemandu jet pejuang, semua boleh.
“Ambil semua risiko dan jadilah seorang wanita yang berani, bijak, berdikari dan yakin. Percayalah, tak akan ada orang yang akan kritik,” tambahnya.
Jangan malu
Juga percaya bahawa tiada salahnya bergelar seorang janda, Maya melihat ia sekadar status dan nama sahaja. Maka, tiada sebab untuk seseorang itu merasa tergugat atau malu dengan reputasi itu.
“Zaman sekarang, gelaran itu tidak lagi dipandang negatif. Saya tengok ramai sahaja yang suka dengan janda, kiranya popular jugalah wanita berstatus ini kan?
“Tapi tak dinafikan, andai seorang janda itu tidak menerima nafkah bekas suami kemudian kewangan pun tiada, itu yang saya simpati.
“Kalau begitu kita semua harus beri semangat agar mereka tahu, perceraian bukan satu pengakhiran hidup,” tambahnya.
Artis lain melawa, Maya?
Berkongsi mengenai projek khidmat sosialnya dalam isu alam sekitar, duta ikon River of Life (ROL) Kementerian Wilayah Persekutuan ini ada luahan yang terbuku di hati.
Berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh pihak tersebut, Maya bagaimanapun sedar mungkin ada pihak menganggap isu seperti ini bosan untuk dibincangkan.
Apa lagi isu itu bukanlah sesuatu yang baru untuk dikempenkan. Namun dengan nada sarkastik, Maya sempat menyindir segelintir pihak di luar sana.
“Isu begini bosan? Iyalah, agaknya lebih baik saya sibuk bergambar cantik-cantik setiap hari dan muat naik dalam media sosial. Pergi pertunjukan fesyen dan sebagainya.
“Pergi ke London, Paris, New York lebih glamor dan lagi banyak faedah kepada masyarakat, tak begitu?
“Zaman sekarang ramai yang terjebak dengan kejelitaan saja tapi tak ada yang betul-betul nak sokong dan sertai isu sosial macam ni. Sibuk berfesyen saja siapa nak angkat isu begini.
“Biar orang kata isu ini bosan, asalkan saya tak bosan memperjuangkannya. Tak apalah, biarkan artis lain atau sesiapa sahaja mahu melawa, saya tak kisah berselipar dan masuk ke hutan,” katanya.
Didekati lelaki muda
Mengaku terbuka mengenali mana-mana lelaki buat masa ini, Maya bagaimanapun tidak menolak sebelum ini pernah didekati lelaki muda.
Katanya, perkenalan pada tahun 2012 itu bagaimanapun cuma kekal sebagai sahabat sahaja dan tidak lebih daripada itu.
“Beza usia kami kurang lebih 15 tahun, tapi setakat itu sahajalah. Sekarang pun ada sahaja yang saya sedang cuba berkenalan dan usia sebaya.
“Tapi tulah, tak nampak lagi sejauh mana hubungan itu akan pergi. Mungkin hati saya yang belum terbuka lagi,” katanya.
Apa yang perlu diketahui
- Dilantik sebagai duta ikon ROL pada awal Januari lalu dan sebelum ini juga terlibat dengan pelbagai kempen alam sekitar.
- Pernah berkahwin pada 2008 dengan Steve David Shorthose namun bercerai pada 2010.
- Baharu sahaja muncul dengan lagu baru berjudul Getaway, duet bersama Kaka Azraff.
- Bakal muncul dengan filem berjudul Bulan dan Pria Terhebat arahan Ghaz Abu Bakar.
- Baginya kali ini berbeza kerana dia membawakan watak seorang pembunuh upahan dan beraksi hebat bak Angelina Jolie.
- Mac ini Maya juga akan memasuki set penggambaran filem aksi terbaharu terbitan Skop Production Sdn. Bhd. bersama Zizan Razak.











