Perluas Tafaqquh Fiddin di 38 penjara - Utusan Malaysia

Perluas Tafaqquh Fiddin di 38 penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG 28 Feb. – Jabatan Penjara akan memperluaskan program Tafaqquh Fiddin di semua penjara di negara ini berdasarkan kepada kejayaan program perintis di negeri ini yang melibatkan 150 penghuni.

Jabatan itu juga bertindak proaktif apabila bersedia melaksanakan program tahfiz terbaharu yang memerlukan masa sebulan bagi menghafal al-Quran yang sedang dilakukan kajian oleh Yayasan Pahang untuk dilaksanakan di pusat tahfiz anak kerajaan negeri itu.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama Yayasan Pahang untuk melaksanakan program itu dan bersedia memperluaskannya secara berperingkat di 38 buah penjara di negara ini.

“Kalau kita lihat dari segi program ini, kita rasa ia amat berkesan dan dari segi perluasan memang kita menyambut baik kerana peluang ini membantu penjara melaksanakan peranan untuk memulihkan dan memberikan keyakinan kepada mereka apabila keluar menjadi rakyat yang baik serta mampu berdikari.

“Mengenai program tahfiz baharu, sekiranya ditawarkan kita menyambut baik bak kata pepatah kecil tapak tangan nyiru kita tadahkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Masjlis Konvokesyen Program Persijilan Pengajian Agama Islam Tafaqquh Fiddin Tahap 1 di Dewan Perdana Kompleks Penjara Bentong di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd. Nawawi.

Pada majlis itu, seramai 85 penghuni penjara di negeri ini menerima sijil tahap 1 selepas 18 bulan mengikuti kursus ber­kenaan yang disediakan oleh Yayasan Pahang dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Program pertama yang bermula pada Mac tahun lalu itu melibatkan seramai 150 penghuni dari Penjara Penor, Penjara Bentong dan Pusat Khidmat Kemasyarakatan Kem Batu 10, Kuantan.

Tafaqquh Fiddin menekankan kepada usaha memahami ilmu agama secara bersungguh-sungguh melalui subjek al-Quran, tafsir, tauhid, fikah dan tasawuf.

Sementara itu, Mahmud berkata, Yayasan Pahang sedia memberikan bantuan dalam memperluaskan lagi program tersebut termasuk menyediakan silibus yang diguna pakai kepada seluruh penjara di negara ini.

“Kita juga akan memberikan pelbagai bantuan termasuk membantu banduan yang dibebaskan mendapat pekerjaan di ladang-ladang Yayasan Pahang di seluruh negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN