Perlu pinda undang-undang sebelum wajibkan vaksin - Dzulkefly - Utusan Malaysia

Perlu pinda undang-undang sebelum wajibkan vaksin – Dzulkefly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Mac – Kementerian Kesihatan (KKM) perlu membuat pindaan terhadap undang-undang sedia ada sebelum cadangan mewajibkan dua suntikan vaksin kepada kanak-kanak dapat dilaksanakan.


Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dua vaksin tersebut ialah vaksin difteria dan MMR bagi merawat penyakit demam campak, beguk dan ru bela yang ada dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP). 


“Perkara ini memerlukan undang-undang yang mandatori sebab itu kita ambil langkah cermat* kita akan bawa pada persidangan Parlimen. Bagaimanapun bukan yang terdekat ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Gotong-royong Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.


Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata perkara itu juga akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.


Sementara itu, beliau berkata kementeriannya berhasrat memperluas penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) ke seluruh negara bagi membasmi wabak denggi di negara ini.


Menurutnya, penggunaan teknologi itu telah dilaksanakan di Pulau Pinang dan berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Perubatan, ia menunjukkan tahap keberkesanannya dalam membasmi dan mengelak pembiakan nyamuk aedes.


“Jika mempunyai sumber kewangan yang mencukupi, kita boleh memperluaskannya ke negeri lain dan dalam kementerian sendiri mempunyai pakar dalam AI. Kita merasakan sudah tiba masanya teknologi itu digunakan untuk memerangi denggi,” katanya.


Dalam pada itu, Dzulkefly berkata kes denggi yang dilaporkan dari Januari hingga 7 Mac lalu meningkat kepada 28,580 kes berbanding 11,146 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.


”Memandangkan kes dan kematian akibat denggi semakin meningkat, setiap individu dan masyarakat perlu memastikan persekitaran bersih dan bebas daripada bekas pembiakan aedes, jangkitan denggi boleh membunuh 45 peratus mangsa dalam tempoh lima hari selepas mengalami gejala,” katanya. – BERNAMA


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini