KUALA LUMPUR 7 Mac – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengecam kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa UMNO dan Pas sedang ‘mengisytiharkan perang’ lalu menukarkannya kepada ‘menyasarkan’ terhadap masyarakat bukan Melayu.
Naib Wira Perkasa, Syed Mohd. Shahriman Syed Badrishah berkata, kenyataan dianggap sebagai satu hasutan itu boleh membakar kebencian antara kaum dalam negara ini.
“Wira Perkasa ingin menegaskan bahawa kita tidak akan sekali-kali berkompromi atas sebarang bentuk cubaan dan tindakan hasutan dan kebencian terhadap kaum bumiputera walaupun tindakan ini dilakukan oleh menteri kabinet sekali pun.
“Kita menentang sekeras-kerasnya dan mendesak agar Lim Guang Eng menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka. Beliau harus dipertanggungjawabkan serta diambil tindakan sewajarnya atas tindakan menghasut yang boleh membangkitkan ketegangan kaum malah menjejaskan keamanan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” jelasnya.
Sebuah portal semalam memetik kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.
Walau bagaimanapun, Guan Eng selepas itu telah mengubah kenyataannya dan frasa ‘pengisytiharan perang’ kepada ‘menyasarkan’. – UTUSAN ONLINE











