'Peremajaan semula' Pasar Besar Kedai Payang - Utusan Malaysia

‘Peremajaan semula’ Pasar Besar Kedai Payang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU 3 Mac – Pembangunan semula Pasar Besar Kedai Payang di sini yang turut melibatkan ‘pemindahan sementara’ kesemua 1,000 peniaga di situ mampu memberi nafas baharu kepada destinasi ikonik itu.

Memuatkan artikel berkaitan…
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tidak timbul isu meroboh atau memusnahkan bangunan yang tinggi nilai budaya dan sejarah itu sebaliknya, pelaksanaan projek berkenaan bakal mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan menarik bagi peniaga serta pengunjung.
 
“Pasar Besar Kedai Payang akan melalui proses rejuvenate (peremajaan semula). Saya lebih suka gunakan istilah itu dan bukannya roboh.
 
“Kita ingin beri nafas baharu supaya ia dapat berperanan sebagai tempat persinggahan bukan sahaja untuk berjual beli tetapi memaparkan unsur-unsur budaya, tradisi dan jati diri rakyat Terengganu, ” katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Hadiah Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar di Taman Ekuestrian Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong, di sini hari ini.
 
Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
 
Kira-kira 1,000 peniaga Pasar Besar Kedai Payang bakal dipindahkan ke premis baharu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan semula yang dijangka bermula bulan April depan.
 
Perancangan pembangunan Pasar Besar Kedai Payang itu akan berkonsepkan pengubahsuaian dan penambahan ruang serta kemudahan dengan turut mengekalkan corak perniagaan tradisional dan moden dalam persekitaran yang selesa.
 
Ahmad Samsuri memberi jaminan kesemua peniaga akan mendapat lot perniagaan masing-masing di premis sementara, Pasar Payang 2 yang terletak bersebelahan premis asal.
 
“Peniaga di premis asal lah yang akan berniaga di premis sementara dan apabila siap kelak, mereka ini jugalah yang akan berniaga di situ kembali. Tidak timbul nama akan dibuang daripada senarai dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN