Perarakan wanita dicemari perjuangan LGBT - Utusan Malaysia

Perarakan wanita dicemari perjuangan LGBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Mac – Walaupun sedar gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak sesuai dengan budaya masyarakat di negara ini, masih ada penyokong golongan berkenaan mahukan gaya hidup berkenaan diiktiraf.

Dalam satu himpunan dan perarakan yang diadakan di sini hari ini, penyokong LGBT dirakam melaungkan slogan seperti “Hidup LGBT” dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu.

Walaupun perarakan itu bertujuan untuk meraikan Hari Wanita Sedunia yang disambut semalam, kelibat penyokong LGBT dilihat mencemarkan perarakan tersebut.

Menurut Sinar Harian, kira-kira 1,000 orang hadir dalam perhimpunan dan perarakan tersebut yang bermula dari pusat beli belah Sogo hingga ke Masjid Jamek.

Selain slogan pro-LGBT, peserta turut melaungkan desakan supaya menghentikan perkahwinan kanak-kanak serta menuntut penghapusan diskriminasi jantina, menamatkan keganasan terhadap wanita dan memperkukuh hak wanita.

Portal Malaysiakini pula melaporkan lima tuntutan perarakan tersebut yang merangkumi penolakan terhadap perkahwinan kanak-kanak; memastikan hak dan kebebasan wanita untuk membuat pilihan atas tubuh serta nyawa mereka sendiri; memastikan gaji minimum RM1,800; menamatkan segala keganasan berdasarkan jantina dan orientasi seksual serta memusnahkan patriarki dan membina demokrasi tulen dalam semua peringkat masyarakat.

Malaysiakini walau bagaimanapun melaporkan hanya kira-kira 300 peserta yang hadir. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×