KASHMIR 2 MAC – Pembebasan juruterbang India oleh Pakistan, semalam yang sepatutnya meredakan ketegangan di Kahshmir tidak berlaku hari ini, sebaliknya kedua-dua pihak terus berbalas serangan yang menjadikan pos kawalan dan kampung di sepanjang sempadan wilayah bergolak itu sebagai sasaran.
Lapor Al-Jazeera, serangan itu mengakibatkan lima orang awam termasuk dua beradik serta ibu mereka selain dua tentera Pakistan terbunuh.
PERANG INDIA-PAKISTAN SENGIT
Jurucakap polis India berkata, dalam serangan terbaharu tentera Pakistan, tiga sekeluarga terbunuh apabila rumah mereka di daerah Poonch, berhampiran Garisan Kawalan (LoC) musnah, manakala seorang lelaki dilaporkan kritikal dan sedang menerima rawatan di hospital berhampiran.
Dalam pada itu, tentera Pakistan dalam satu kenyataan berkata, dua individu termasuk seorang remaja lelaki terbunuh selain seorang lagi cedera dalam serangan tentera India di kawasan Tatta Pani.
Kenyataan itu turut mengesahkan dua tentera Pakistan terbunuh di Nakiyal semasa berbalas serangan semasa tentera menyasarkan pos kawalan askar India yang menyerang kedudukan orang awam.
Angkatan tentera Pakistan juga dilaporkan dalam keadaan berwaspada dan melakukan pemantauan secara berterusan di ruang udara negara itu bagi mengesan pergerakan jet India.
Dalam perkembangan berasingan, seorang jurucakap polis di Rawalakot berkata, seorang lelaki cedera manakala tiga buah rumah musnah dalam serangan tentera India malam tadi.
Juga di wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan, jurucakap kerajaan, Umar Azam berkata, tentera India dengan senjata berat didakwa sengaja perkampungan penduduk yang terletak di sepanjang Garisan Kawalan Kashmir.
Pegawai kedua-dua negara dilapor menggunakan alasan serupa dalam serangan itu dengan mendakwa tentera mereka bertindak balas secara wajar dan menyalahkan antara satu lain atas pencabulan perjanjian gencatan senjata 2003 di beberapa sektor di sepanjang perbatasan Kashmir dengan menyasarkan pos tentera dan kampung.
JURUTERBANG INDIA RAKAM PENGHARGAAN
Channel News Asia melaporkan, juruterbang tentera udara India, Abhinandan Varthaman yang dianggap sebagai simbol peperangan terbesar antara India dan Pakistan sejak beberapa tahun lalu dibebaskan pada pukul 9 malam waktu tempatan.
Pembebasan Varthaman turut mendapat liputan secara langsung oleh saluran televisyen Pakistan.
Sebelum dibebaskan, juruterbang itu mengucapkan terima kasih kepada pasukan tentera Pakistan yang menyelamatkan beliau daripada kemarahan penduduk tempatan selepas jet dipandunya terhempas.
“Tentera Pakistan adalah pasukan tentera profesional dan saya kagum dengan mereka,” katanya.
INDIA BERANG DAKWA JURUTERBANG DIPAKSA HASIL VIDEO
Bagaimanapun video pemebasan Varthaman mengundang kemarahan di India apabila Pakistan didakwa sengaja memaksa juruterbang itu menghasilkan klip tersebut.
Bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Omar Abdullah berkata, video itu menjejaskan usaha keamanan yang diperjuangkan Pakistan.
Malah, media India turut mengecam video itu sebagai keterlaluan dan mendakwa ia melanggar norma-norma antarabangsa bagi tahanan perang.
“Tidak ada keamanan tanpa maruah dan Pakistan terlupa perkara asas yang melanggar konvensyen Geneva,” tulis pengarang kumpulan India Today, Rajdeep Sardesai.
PAKISTAN MAHU SAMAN INDIA
Dalam perkembangan berkaitan, Islamabad merancang untuk mengemukakan tuntutan saman terhadap New Delhi atas dakwaan menyebabkan kemusnahan alam semula jadi di wilayah negara itu di Kashmir.
Hal ini kerana, Pakistan mendakwa banyak pokok musnah apabila tentera India melancarkan serangan terhadap kubu kuat kumpulan pemisah di kawasan hutan berhampiran sempadan India.
Menteri Perubahan Iklim Pakistan, Malik Amin Aslam berkata, kerajaan Islamabad sudah memulakan siasatan serta pengumpulan maklumat bagi dijadikan bahan pendakwaan terhadap India. – AGENSI










