Sesiapa saja yang menonton tiga klip video yang tular dalam media sosial baru-baru ini sudah pasti merasa sedikit terganggu. Satunya video seorang wanita dibelasah dalam lif sebelum dirompak dan sekumpulan tujuh orang penyamun bermotosikal mengekori dan cuba menyamun seorang lelaki yang baru pulang ke rumah. Satu lagi rakaman seorang lelaki naik angin ketika berurusan di kaunter perkhidmatan sebuah agensi kerajaan.
Kumpulan tujuh anak muda berusia antara 20 hingga 30 tahun itu bersenjatakan parang. Kumpulan itu mengekori kereta mangsa masuk ke dalam pagar rumah sebelum mengejar mangsa. Mangsa terselamat apabila berlari masuk ke dalam rumah dan sempat mengunci pintu kayu rumahnya. Si penyamun yang kecewa kerana gagal mendapatkan hasil rompakan bertindak membocorkan tayar kereta mangsa menggunakan parang.
Kes penyamun bermotosikal atau berkereta ini sudah kerap sangat berlaku cuma akhir-akhir ini mereka semakin berani. Kebanyakan kejadian berjaya dirakam oleh kamera pemantau dan dimuat naik ke dalam pelbagai platform media sosial. Kalau dahulu setakat mengekori dan meragut sekarang ini sudah berani mengejar mangsa sehingga masuk ke dalam kawasan rumah dan menceroboh rumah mangsa pada siang hari! Biasalah penyamun hanya berani kalau buat kerja jahat secara berkumpulan. Kalau berseorangan atau berdua dengan pembonceng keberanian setakat meragut wanita kemudian memecut lari! Berhubung kes rompakan dalam lif pula, mangsa seorang wanita ditumbuk dan ditendang sebelum dirompak. Kenapa perlu dipukul mangsa seorang wanita? Kalau mahu merompak, rompak sajalah tidak perlu menggunakan kekerasan sedemikian. Lagipun mangsa bukannya melawan!
Penyamun dalam lif pula sudah berjaya ditangkap dan didakwa di mahkamah walaupun dia tidak mengaku bersalah melakukan perbuatan itu. Empat daripada tujuh suspek bermotosikal yang cuba menyamun sudah ditahan polis. Seperti biasa polis tidak mengambil masa yang lama dalam mengesan dan menangkap suspek. Dengan berbaki tiga lagi yang masih bebas, tidak lama lagi lengkaplah senarai tujuh suspek yang dikehendaki itu . Tahniah Polis Diraja Malaysia (PDRM)!
Walaupun dua kes tersebut mungkin dianggap sebagai kes terpencil, orang ramai melihat kes ini bukan terpencil lagi. Kes ini sudah boleh dikategorikan sebagai jenayah berat yang mengancam keselamatan masyarakat awam. Apa tidaknya, kejadian berlaku pada siang hari di dalam kawasan rumah sendiri yang dilengkapi pagar elektronik dan kamera pemantau dipasang di setiap sudut. Melihat kepada kejadian yang sempat dirakam oleh kamera tersebut, orang ramai ada sebab untuk terus merasa bimbang dengan modus operandi rompakan seperti itu. Walaupun hanya menunggang motosikal dan tidak bersenjatakan pistol atau senapang, kumpulan penjenayah ini tetap berbahaya. Dengan bersenjatakan parang, mereka pada bila-bila masa sahaja boleh menetak dan mencederakan mangsa.
Keberanian tujuh penyamun itu cukup luar biasa, barang kali kerana dilakukan secara ‘berjemaah’ dan di bawah pengaruh dadah. Cara penjenayah terlibat mengejar mangsa sehingga ke dalam kawasan rumah mangsa sangat ‘menakjubkan’ apatah lagi perbuatan ini berlaku di Malaysia. Kalau di sesetengah negara Amerika Latin atau negara Afrika, itu tidak menghairankan. Mereka menyerang dan merompak mangsa dengan ‘sebebas-bebasnya’ tidak ubah seperti dalam filem gengster. Mereka boleh mengejar dan merompak sesiapa sahaja tanpa mengira tempat dan masa seolah-olah negara ini tidak ada undang-undang. Jika mangsa melawan akibatnya lebih buruk, cedera parah atau mati dibunuh.
Melihat kepada keberanian luar biasa itu juga dapat dikatakan si penyamun ini bukan novis atau amatur yang pertama kali menyamun atau merompak menggunakan cara sedemikian. Mereka sudah biasa dengan kerja-kerja menyerang dan menyamun mangsa secara terbuka di tempat terbuka. Barangkali trend merompak atau pecah rumah pada waktu malam yang gelap dan sunyi tidak sesuai lagi. Oleh kerana sudah kerap kes yang lebih kurang sama terjadi, orang ramai perlu sentiasa beringat dan berhati-hati setiap kali berurusan di luar. Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Jangan hanya leka dan lalai bermain telefon bimbit sehingga tidak sedar diekori sehingga dirompak.
Satu lagi video tular yang sedikit mengganggu orang awam ialah rakaman seorang pelanggan ‘mengamuk’ dengan petugas di bahagian kaunter di sebuah agensi kerajaan. Apabila menonton rakaman tersebut perkara pertama terlintas pada fikiran semua orang ialah masih tidak berubah lagikah perangai lama perkhidmatan kaunter kerajaan? Walaupun agensi itu sudah mengeluarkan kenyataan menjelaskan cerita sebenar yang berlaku, orang awam tidak akan percaya semudah itu berdasarkan kepada banyak kisah pengalaman buruk ketika berurusan di kaunter-kaunter perkhidmatan pejabat atau agensi kerajaan sudah dilaporkan sebelum ini. Perkhidmatan barisan hadapan itu kerap kali dikritik dan dicemuh kerana menyediakan perkhidmatan tidak mencapai kualiti memuaskan. Kakitangan bertugas di bahagian itu dituduh tidak cekap, bekerja sambil lewa serta banyak main. Kaunter penuh sesak, perkhidmatan perlahan dan orang ramai terpaksa menunggu berjam-jam. Ada yang datang pagi terpaksa datang balik di sebelah petang atau keesokan harinya kerana masalah gangguan sistem komputer.
Benarkah apa yang didakwa itu? Sebahagiannya benar manakala sebahagian lagi tidak betul. Memang kes sedemikian pernah berlaku dan masih berlaku di sesetengah tempat tetapi bukanlah melibatkan semua jabatan atau agensi kerajaan. Tindakan membuat tuduhan secara pukul rata ke atas semua jabatan hanya kerana satu kes berlaku di jabatan lain amat tidak adil.
Menyamakan semua perkhidmatan kaunter agensi dan pejabat kerajaan sebagai buruk, teruk, tidak mesra pelanggan dan menyusahkan, itu barangkali cerita dulu-dulu. Tidak semua masih seperti itu. Sebahagian besar perkhidmatan kaunter di negara ini telah mengalami proses transformasi menyeluruh. Pelbagai mekanisme baharu diperkenalkan bagi memudahkan orang awam berurusan. Sesetengah jabatan dan agensi mengambil pengalaman atau mencontohi perkhidmatan kaunter beberapa syarikat swasta seperti bank dan syarikat penerbangan serta agensi-agensi kerajaan lain yang menunjukkan prestasi cemerlang seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pada hari ini sudah tidak ramai yang merungut malah melahirkan rasa puas hati dengan perkhidmatan kaunter beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen serta agensi-agensi kerajaan lain termasuk di peringkat negeri. Petugas di barisan hadapan agensi-agensi ini mempamerkan kualiti perkhidmatan yang mesra pelanggan, cekap dan sangat membantu walaupun bekerja di bawah tekanan kerana terlalu ramai pelanggan berurusan setiap hari.
Video yang tular itu walaupun tidak mewakili keseluruhan jabatan kerajaan bagaimanapun mesti dijadikan iktibar dan peringatan kepada semua kakitangan perkhidmatan kaunter untuk sentiasa memberi perkhidmatan terbaik dan meningkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada dari semasa ke semasa.











