KUALA LUMPUR 1 Mac.- Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan sedang berhenti untuk memasuki lorong dalam kejadian Kilometer 2.5 Jalan Ampang Pechah-Rasa di atas jambatan Sungai Selangor Berhampiran Sekolah Menengah Ampang Pecah pagi ini.
Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, mangsa, Siah Teong Kim,64, disahkan maut setiba sahaja menerima rawatan di hospital selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Alphard yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun sedang berhenti untuk membelok ke kanan jalan di simpang Buluh Telur dekat sini.
“Bagaimanapun, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha tidak sempat memberhentikan kenderaannya sebelum melanggar belakang Toyota Alphard terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- UTUSAN ONLINE










