SEREMBAN 3 Mac – Seorang pegawai kanan Pejabat Tanah Port Dickson maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabas di simpang tiga berhampiran Plaza Tol Nilai di sini petang ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.25 petang itu, mangsa yang merupakan Penolong Pegawai Pejabat Tanah Port Dickson, Muhammad Syafique Zurid, 44, maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Honda CBR 1000 semasa kemalangan itu berlaku.

“Siasatan awal mendapati motosikal itu sedang bergerak dari arah Masjid Putra Nilai menuju ke Seremban
“Mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui susur di sebelah kiri di lokasi kejadian sebelum motosikalnya terbabas ke tengah jalan dan melanggar pembahagi laluan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Nor Marzukee berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk menjalani bedah siasat. – UTUSAN ONLIN









