Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut kemalangan jalan raya - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut kemalangan jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI – Seorang penjawat awam lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabas di simpang tiga berhampiran Plaza Tol Nilai di sini petang tadi. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.25 petang itu, mangsa yang merupakan Penolong Pegawai Pejabat Tanah Port Dickson, Muhammad Syafique Zurid, 44, (Gambar kecil) maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Honda CBR 1000 semasa kemalangan itu berlaku.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika dalam perjalanan dari arah Masjid Putra Nilai menuju ke Seremban.

“Motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui susur di sebelah kiri di lokasi kejadian sebelum terbabas ke tengah jalan dan melanggar pembahagi laluan. 

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal tersebut meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Mohd. Nor Marzukee berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seremban untuk menjalani bedah siasat.

Menurut beliau, pemeriksaan awal polis ke atas mayat mangsa bagaimanapun tidak mengesan kecederaan luar pada anggota badan mangsa.

“Mangsa beralamat di Jalan Tunku Kurshiah Atas 1 Sikamat, Seremban. Siasatan lanjut masih dijalankan dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN