TANAH MERAH – Seorang lelaki warga emas yang sedang menoreh getah di Bukit Kechik di sini semalam cedera di muka, mata, badan dan kaki selepas terkena peluru penabur dilepaskan seorang pemburu ayam hutan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi, mangsa, Zuklikfli Awang Hamat, 62, dikatakan sedang duduk berehat dan makan nasi selepas menoreh di kebun getah berkenaan bersendirian.
Sebelum kejadian mangsa dan isterinya berusia lingkungan 50-an dikatakan keluar secara berasingan untuk menoreh dengan motosikal masing-masing.
Jarak kedua-duanya semasa kejadian kira-kira 500 meter.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, isteri mangsa mendengar bunyi letupan kuat namun tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk menimpa suaminya.
“Namun seorang jiran datang dan menyuruhnya segera pulang ke rumah. Apabila tiba di rumah wanita itu terkejut melihat suaminya cedera di muka, mata, badan dan kaki serta bahagian paru-paru.
“Mangsa kemudian dibantu oleh pemburu berusia lingkungan 40-an itu dan dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – K! ONLINE











