KUALA LUMPUR 3 Mac – Penjara FC, Ultimate FC dan Tun Razak City FC mengesahkan tempat ke pusingan kedua saingan Piala FA hari ini.
Penjara FC layak selepas membenam MOFAH FC 6-3 di Stadium Mini Penjara Kajang menerusi hatrik Muhammad Hasrul Nurkholis Hasim pada minit ke-48, 49 dan 75.
Terdahulu, Penjara FC membuka jaringan menerusi Muhammad Amiruddin Zainal Abidin seawal minit keempat, sebelum Mohd Azrol Izwan Azman menggandakan jaringan pada minit ke-28 manakala gol terakhir pasukan itu dijaringkan Mohamad Izzudin Zainuddin pada minit ke-77.
MOFAH FC pula berjaya merapatkan jurang menerusi kapten, Mohd. Shamil Shah Kassim pada minit ke-25 dan 85 serta Aliff Izwan Ab Razak pada minit ke-42.
Di Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Ultimate FC mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas KSR Sains menerusi sepakan penalti Ahmad Azlan Zainal pada minit ke-88.
Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 menerusi jaringan M. Terrence pada minit ke-28, sebelum KSR Sains bangkit menyamakan kedudukan menerusi Norfaizzal Faroq Zaharuddin pada minit ke-60.
Sementara itu, Tun Razak City FC layak selepas mengatasi pasukan SAMB FC, 3-1 di Stadium Mini Raja Muda di sini.
Pasukan Tun Razak City FC membuka jaringan pada minit ke-23 menerusi Badrulhisyam Azmi, sebelum Shamirul Rani menggandakan jaringan tiga minit kemudian, namun SAMB FC bangkit mengurangkan defisit menerusi jaringan Zamiree Md Jani pada minit ke-54, tetapi jaringan Bertim Rafael pada masa kecederaan (90+5) mengesahkan kemenangan itu.
Sebanyak tujuh pasukan – Kelantan United, PIB FC, Kuching FA, Jerantut FA, Protap FC, Batu Dua FC dan JBFA layak ke pusingan kedua semalam, selepas menewaskan lawan masing-masing.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengubah format Piala FA yang menyaksikan penyertaan 38 pasukan amatur (14 pasukan Liga M3 dan 24 pasukan Liga M4) yang akan berentap dalam pusingan kelayakan Piala FA yang diperkenalkan pada 1990.
Undian pusingan kedua Piala FA akan berlangsung esok, dengan 10 pasukan amatur itu akan diundi bersama-sama pasukan Liga Super dan Liga Perdana untuk saingan piala kalah mati itu. – BERNAMA









