MARAN 3 Mac – Seorang peneroka wanita dari Felda Jengka Satu di sini cedera parah di bahagian tangan dan kaki akibat disondol seekor babi hutan di belakang rumahnya petang semalam.
Akibat serangan haiwan itu, Roseminah Safar, 70, terpaksa menjalani pembedahan kira-kira tujuh jam bagi menyambungkan kembali urat tangan kanannya yang putus.
Menceritakan detik cemas kejadian itu, kira-kira pukul 6.30 petang ketika sedang berehat, seorang jirannya memaklumkan Roseminah sekumpulan babi hutan berkeliaran di belakang

rumahnya.
Katanya, kumpulan babi hutan itu sering merayau di kawasan belakang rumahnya untuk mencari makan berikutan kedudukannya berhampiran dengan ladang kelapa sawit.
“Bimbang keselamatan tiga cucu yang sedang bermain di kawasan berhampiran, saya ke belakang rumah dan mendapati sepasang babi hutan dan enam ekor anaknya sedang berkeliaran mencari makan. Saya menyergah kumpulan haiwan itu menyebabkan babi jantan yang bertaring terkejut dan terus menyerang saya. Saya lari tetapi terjatuh,” katanya di sini hari ini.
Menurut Roseminah, ketika terjatuh, babi jantan itu menyondol dan menggigit lengan dan kedua-dua belah kakinya menyebabkan banyak darah keluar.
“Saya bernasib baik apabila suami saya datang dan berjaya menghalau haiwan itu menggunakan kayu,” ujarnya.
Sementara itu, anaknya, Norkintan, 40, memberitahu, ibunya dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah dan perlu menjalani pembedahan yang mengambil masa lebih tujuh jam.
Katanya, serangan babi hutan itu mengakibatkan urat tangan kanan ibunya putus dan luka termasuk di bahagian kaki.
“Saya dan penduduk meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan segera kerana bimbang keselamatan orang ramai terutama kanak-kanak dan warga tua,” katanya.










