JOHOR BAHRU 10 Mac – Empat kakitangan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini yang dimasukkan ke hospital berkenaan semasa memberikan rawatan kepada mangsa pencemaran bahan kimia di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang kini dilaporkan sudah stabil.
Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Selahudden Abd. Aziz berkata, daripada kesemua kakitangan itu, dua doktor dan seorang jururawat dimaklumkan telah pun dibenarkan pulang ke rumah.
Bagaimanapun, seorang pemandu ambulans berusia 44 tahun yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI selepas kejadian itu masih ditempatkan di bawah pengawasan.
“Daripada awal, hanya empat kakitangan HSI yang dimasukkan ke hospital selepas mereka memberikan rawatan kepada mangsa terjejas akibat pencemaran berkenaan. Seorang daripadanya dimasukkan ke dalam ICU kerana mengalami sesak nafas.
“Bagaimanapun, tiga daripada mereka telah dibenarkan pulang hari ini, manakala pemandu ambulans masih di bawah pengawasan. Namun keadaannya sudah sedar dan beransur pulih,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, pemandu ambulans dikenali Mohd. Fariz Anuar itu tiba-tiba tidak sedarkan diri dipercayai akibat terhidu lepasan bahan kimia tersebut semasa mengambil pesakit di Sekolah Kebangsaan (SK) pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih.
Sementara itu, mengenai jumlah pesakit yang menerima masih menerima rawatan di HSI, Selahudden memberitahu, beberapa pesakit sudah dibenarkan pulang sejak semalam.
“Setakat pukul 10 pagi tadi, mangsa yang menerima rawatan di HSI akibat pencemaran itu tinggal 26 orang sahaja. Buat masa ini semua dalam keadaan baik dan sedang beransur pulih,” katanya. – UTUSAN ONLINE











