ALOR SETAR 31 Mac – Pembelian sebarang aset pertahanan yang baharu untuk negara termasuk jet pejuang akan dibuat dengan mengambil kira kedudukan kewangan dan perkembangan ekonomi negara, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Beliau berkata, buat masa ini kerajaan lebih menumpukan kepada aspek MRO (Maintenance, Repair (amp) Overhaul) bagi aset-aset sedia ada berbanding membawa masuk aset baharu.
“Kita terima banyak tawaran daripada negara lain antaranya Rusia, China, India, Pakistan yang menawarkan jet mereka. Sekarang, kita (Kementerian Pertahanan) diperingkat perbincangan untuk lihat mana satu yang sesuai untuk negara pada masa akan datang.
“Kebanyakan yang ditawarkan adalah dalam bentuk maintenance (penyelenggaraan), jadi kita akan kaji dahulu semua aspek dan lihat berdasarkan kesesuaian di Malaysia. Kalau kewangan negara baik, baru akan beli aset baharu,” kata Mohamad yang juga presiden Parti Amanah Negara selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kuala Kedah di sini, hari ini.
Semalam, di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) dua pengeluar jet Asia iaitu Hindustani Aeronautics Ltd dari India dan Korea Aerospace Industry dari Korea Selatan menyatakan kesediaan untuk membantu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam proses pengantian jet pejuangnya.
Jun lepas, Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang mendedahkan lebih 40 peratus asetnya perlu dinaik taraf kerana melepasi had usia 20 tahun termasuklah pesawat Hawk buatan BAE yang telah berada di dalam perkhidmatan selama 25 tahun, jet pejuang buatan Amerika Syarikat Boeing F/A-18D Hornet (20 tahun) dan juga Sukhoi Su-30MKM Flankers buatan Russia (10 tahun).
Sementara itu, ditanya mengenai kos penyelenggaraan kapal selam jenis Scorpene iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak, Mohamad berkata, kos selenggara untuk kedua-dua kapal tersebut adalah tinggi iaitu sebanyak RM500 juta setahun.
“Memang kapal tersebut moden dan sofistikated tetapi ia perlu diselenggara dan memakan belanja yang tinggi. Kapal ini semakin berumur, semakin tinggi kos untuk selenggara.
“Sekarang kita ada dua kapal, kalau ikut kita perlukan empat lagi kapal tetapi tengok keperluan juga. Kalau ekonomi negara baik, mungkin boleh tapi kalau ekonomi macam sekarang tidak perlulah,” katanya. – BERNAMA











