IPOH – Seorang wanita berhadapan dengan detik-detik hitam apabila dia bukan sahaja dirogol malah dipukul menggunakan kayu serta pemutar skru oleh seorang lelaki yang dikenalinya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Laksamana, Teluk Intan Khamis lalu.
Penderitaan mangsa berusia 25 tahun selepas dikurung selama lima hari di dalam sebuah rumah oleh suspek lewat 20-an itu berakhir apabila dia meminta bantuan daripada orang ramai kemudian berjaya melarikan diri dari sebuah lagi rumah di Jalan Kebun Limau, Teluk Intan kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman berkata, dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, mangsa sedang menunggang motosikal sebelum ditahan suspek yang dikenalinya sebagai Nan.
“Suspek kemudian meminta mangsa mengikutnya selain menyuruh meninggalkan motosikalnya di tepi jalan dan membonceng dengan lelaki itu ke sebuah rumah di Jalan Laksamana.
“Di rumah tersebut, mangsa telah dipaksa melakukan hubungan seks dengan suspek sebanyak tiga kali dan memaksanya menghisap kemaluan lelaki itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Yahya, sepanjang berada di rumah berkenaan, suspek telah memukul mangsa menggunakan tangan, kayu dan pemutar skru di beberapa bahagian badan termasuk di kepala. – K! ONLINE











