NEW YORK 28 Feb. – Kebiasaannya, penumpang jarang ingin berbual dengan pemandu dalam teksi atau kenderaan e-hailing yang mereka naiki.
Namun menurut Metro.co.uk, keadaan itu tidak mematahkan semangat seorang pemandu Uber untuk mencuba kelainan.
Menurut seorang penumpang dikenali sebagai Lui, dia memperoleh pengalaman menarik dan unik ketika menggunakan perkhidmatan e-hailing tersebut.
Menerusi Twitter, Lui menceritakan bagaimana pemandu Uber tersebut yang dikenali sebagai George memberikannya satu senarai jenis pemanduan yang diingini.
Antara jenis-jenis pemanduan yang disenaraikan termasuk dalam beberapa kategori seperti kelakar, senyap, terapi, menakutkan dan biadab.
Bagi pemanduan jenis kelakar, George akan bercerita tentang pelbagai cerita lawak, manakala bagi pemanduan senyap, pemandu dan penumpang tidak akan saling berkomunikasi.
Pemanduan jenis menakutkan pula lebih kurang seperti pemanduan senyap, namun George akan memberikan pandangan yang menakutkan kepada penumpangnya menerusi cermin belakang.
Bagi pemanduan jenis biadab, George memaklumkan dia akan ‘berusaha menjadi kurang ajar selagi boleh’ bagi memberi pengalaman yang berbeza kepada setiap penumpangnya.
Bagaimanapun, George menyatakan dalam senarai tersebut bahawa dia mengutamakan keselamatan setiap penumpang dan memastikan mereka sentiasa memakai tali pinggang keselamatan.
Selepas Lui berjaya menjejaki George, lelaki itu meminta pemandu Uber berkenaan membuat akaun Twitter dan memuat naik gambar senarai jenis pemanduan itu.
Seperti yang dijangka, senarai itu mendapat perhatian banyak pihak dan ada yang tidak sabar untuk menggunakan perkhidmatan George. – AGENSI










