Pemandu traktor maut terkena bilah pemotong jerami padi - Utusan Malaysia

Pemandu traktor maut terkena bilah pemotong jerami padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JITRA – Seorang lelaki berusia 21 tahun maut akibat terkena bilah pemotong jerami padi sebuah traktor ketika sedang membersihkan kawasan sawah di Kampung Sinaran Jaya, Manggol Bongor, Megat Dewa, Kodiang dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Alif Riezman Azhar (Gambar kecil) dikatakan sedang mengendalikan traktor pemotong jerami tersebut sebelum terjatuh dipercayai akibat diserang sawan.

Mangsa yang terjatuh kemudian digilis traktor dan terkena bilah pemotong sehingga menyebabkan kecederaan parah pada kepala, perut, tangan dan kaki.

Pemilik traktor, Azli Ahmad, 40, berkata, dia pergi ke tempat kejadian untuk memeriksa kerja-kerja membersihkan sawah sebelum mendapati traktor dipandu mangsa berhenti di tengah sawah.

“Pada mulanya saya ingatkan traktor rosak atau menghadapi masalah lain tetapi selepas memeriksa kawasan sekitar, saya ternampak mangsa terlentang di tengah sawah.

“Mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di celah jerami padi dengan kecederaan parah pada kepala dan beberapa anggota badan lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kata beliau, mangsa mengalami penyakit sawan dan pernah beberapa kali diserang penyakit itu sebelum ini.

“Mangsa berkemungkinan terkena sawan sebelum terjatuh dari traktor dan terkena bilah pemotong tunggul jerami sehingga maut,” ujarnya.

Tambahnya, hari ini merupakan hari pertama mangsa mengambil upah membersihkan sawah dengannya bagi musim penanaman padi yang dijangka bermula pertengahan April ini.

“Arwah tidak sempat menghabiskan kerja-kerja membersihkan jerami padi di kawasan sawah seluas kira-kira dua relung itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×