SEREMBAN 28 Feb. – Masyarakat akan hilang rasa hormat terhadap sesuatu institusi jika perbuatan salah dipertahankan sebagai perkara yang benar.
Kebimbangan itu disuarakan oleh para Dato’ Lembaga Delapan (Tiang Balai) Luak Jelebu hari ini di sebalik isu penerimaan pengisytiharan pelantikan Maarof Mohd. Rashad sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.
Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari, Ibrahim Harun berkata, walaupun masyarakat tidak mempunyai kuasa birokrasi, namun penerimaan mereka mesti dianggap penting dalam menentukan sesuatu pelantikan itu mempunyai nilai yang tinggi.
“Sebagai barisan kepemimpinan dalam organisasi, kita mesti melakukan perkara yang betul terutamanya dalam pelantikan pemimpin tertinggi.
“Dalam hal ini, para Dato’ Lembaga Luak yang sah menolak penerimaan pelantikan Maarof kerana ia tidak dibuat mengikut amalan, tata cara dan kaedah adat Luak Jelebu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Dato’ Ombi Pangkal Maharaja Lela Kadin Kidam; Dato’ Raja Balang Norhairizan Ab. Mukti; Dato’ Maharaja Inda Mohd. Nordin Mansor; Dato’ Senara Angsa Rosly Mohd. Zain; Dato’ Paduka Menti Abdul Aziz Zaini; Dato’ Cincang Raja Maizani Shah Raja Musa dan Dato’ Shahbandar Mohd. Rathi Shamsudin.
Ibrahim memberitahu, isu berbangkit dalam pelantikan itu ialah dua surat menggunakan kepala surat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang bertentangan isi kandungannya; kewujudan Dato’ Lembaga yang tidak sah dan pengisytiharan Maarof sebagai Undang Luak dibuat sebanyak tiga kali.
Berikutan itu, tambahnya, para Dato’ Lembaga akan menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir memohon perkenan pertimbangan semula terhadap penerimaan pengisytiharan pelantikan Maarof itu.
“Kami yakin bahawa kebijaksanaan dan keprihatinan Tuanku Muhriz dalam institusi adat di negeri ini mampu menawarkan penyelesaian terbaik dalam kemelut pelantikan ini yang telah berlarutan kira-kira empat tahun,” ujarnya.
Sementara itu, Kadin yang bertanggungjawab mencari benih (calon) Undang Luak berkata, beliau tidak pernah menyerahkan nama benih kepada Dato’ Menteri sebelum ini, Ismail Mohd. Zain.
“Jadi, kita tidak tahu dari mana Ismail dapat senarai nama benih untuk beliau isytiharkan sebagai Undang Luak,” katanya.
Kenyataan beliau disokong oleh Norhairizan yang memberitahu, beliau hanya menerima permohonan daripada 30 orang yang mengisi borang untuk menjadi calon Undang luak.
“Dalam senarai itu, nama Maarof tidak ada kerana beliau tidak mengisi borang,” ujarnya.











