KUALA LUMPUR 14 Mac – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menempatkan pelajar-pelajar dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), di Bukit Kiara, di sini pada pertengahan tahun ini.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya kini sedang dalam proses rundingan bersama Kementerian Pendidikan bagi menempatkan pelajar di akademi itu selain bagi membolehkan mereka belajar selain menjalani latihan di sana.
Katanya, KBS juga sedang menjalankan perbincangan bersama beberapa institusi pendidikan swasta untuk memberikan tuisyen kepada pelajar yang akan menginap di akademi itu.
“Sebelum ini ada berlaku masalah terhadap akademi ini dan kami beri jaminan perkara ini akan diselesaikan tidak lama lagi.
“Ada tenaga pengajar dari institusi swasta akan memberikan tuisyen di sini dan pelajar akan belajar selain menjalani latihan sepenuhnya di sini.
“Sasaran saya adalah pada pertengahan tahun ini,” katanya selepas sesi Townhall KBS bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE











