KUALA LUMPUR – Berdasarkan harga jualan air ke Singapura menurut perjanjian 1962, negara jiran itu boleh dikatakan telah menerima subsidi sekurang-kurangya berjumlah RM2.4 billion sehingga kini, iaitu sebanyak RM42 juta setahun atau kira-kira RM100,000 sehari.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sekiranya diambil kira jumlah subsidi yang diberikan kepada Singapura, jumlah tersebut sememangnya mencorakkan apa yang sedang berlaku.
“Kita jual dengan harga yang begitu murah, tetapi beli dengan harga yang mahal,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong) yang ingin tahu sama ada wujud elemen subsidi dalam perjanjian itu.
Dalam pada itu, Saifuddin juga membidas Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan yang telah mengkritik tindakan Malaysia di Parlimen Singapura apabila mengatakan bahawa Malaysia tidak mempunyai hak untuk menilai semula perjanjian itu setelah tempoh 25 tahun.
“Klausa 14 perjanjian menyatakan ‘it shall be subject to review after the expiry of 25 years from the date of these presents’, bukannya at the 25th year.
“Jadi saya tidak faham Bahasa Inggeris mana yang diguna oleh Menteri Luar Singapura yang membuat taksiran begitu. Kita hormati perjanjian, sebab itu kita kata boleh review perjanjian selepas 25 tahun,” katanya. – Bernama










