KUALA LUMPUR – Kerajaan kini dalam proses menstruktur semula jumlah perjawatan dalam perkhidmatan awam berdasarkan kedudukan ekonomi negara dan perkembangan teknologi semasa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Md. Farid Md Rafik berkata, ia dilakukan melalui pelbagai kaedah antaranya kajian pertindihan fungsi antara jabatan dan agensi, rasionalisasi perjawatan, pengoptimuman sumber manusia, serah urus fungsi (outsourcing), penswastaan dan pengisian jawatan secara berhemah mengikut keperluan.
Beliau berkata, kerajaan juga akan memastikan bakat terbaik dan pegawai berpotensi diletakkan di tempat sewajarnya, sekali gus meningkatkan kepercayaan rakyat kepada perkhidmatan awam.
“Gabungan strategi pengurangan saiz perkhidmatan awam dan peningkatan produktiviti dijangka mampu menjana lebih banyak pendapatan kepada negara dan ketika itu, kerajaan bersedia untuk mempertimbang kenaikan gaji kepada penjawat awam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) sama ada kerajaan akan melaksana penstrukturan semula perjawatan awam bagi mengawal saiz perkhidmatan dalam sektor kerajaan. – Bernama











