KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, prinsip keterbukaan dan kebebasan bersuara di negara ini perlu dipraktikkan dalam lingkungan undang-undang dan norma kehidupan bermasyarakat.
Seri Paduka bertitah, penggunaan media terutama media sosial secara tidak bertanggungjawab boleh mengancam nilai-nilai murni yang berlandaskan agama dan prinsip moral masyarakat.
Perkara ini, titah Seri Paduka, perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa.
“Agensi-agensi penguatkuasa hendaklah bertindak tegas terhadap sebarang sebaran media sosial yang melanggar undang-undang,” titah Sultan Abdullah ketika merasmikan Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Yang turut berangkat ke istiadat pembukaan itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar. – Bernama











