CCTV sahaja tidak cukup tangani buli

CCTV sahaja tidak cukup tangani buli

MURID perlu dididik setiap minggu supaya memahami kesan perbuatan mereka dan berani bertindak apabila melihat buli berlaku.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali berlaku kes buli di sekolah, antara cadangan yang sering diketengahkan ialah menambah kamera litar tertutup (CCTV). Langkah itu sememangnya mempunyai manfaat kerana rakaman boleh membantu pemantauan, menjadi bahan bukti dan pada tahap tertentu mencegah perbuatan salah.

Namun, CCTV hanyalah alat pengawasan. Kamera mampu merakam kejadian tetapi tidak mampu mendidik hati dan membentuk sikap murid. Tidak semua sudut sekolah dapat dipantau sepanjang masa, manakala kejadian juga boleh berlaku di lokasi yang tidak diliputi kamera. Lebih penting, rakaman biasanya hanya berguna selepas sesuatu berlaku.

Justeru, usaha menangani buli perlu bergerak daripada budaya mengesan selepas kejadian kepada usaha mendidik sebelum kejadian. Pendidikan pencegahan perlu diberikan ruang yang khusus, tersusun dan berterusan dalam jadual persekolahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kementerian Pendidikan (KPM) boleh mempertimbangkan modul pendidikan antibuli yang dilaksanakan secara berkala, misalnya 10 hingga 20 minit setiap minggu. Tidak perlu diwujudkan mata pelajaran baharu, sebaliknya kandungan itu boleh disesuaikan dengan pengurusan sekolah.

Murid perlu memahami buli bukan sekadar memukul atau menendang. Mengejek rupa fizikal, menghina keluarga, memulaukan rakan, mengugut, mengambil barang tanpa izin, memaksa seseorang melakukan sesuatu, menyebarkan fitnah serta memalukan orang lain melalui media sosial juga termasuk perlakuan yang perlu diberi perhatian.

Pendidikan seperti ini tidak memadai jika hanya disampaikan melalui ceramah tahunan atau kempen beberapa hari. Pembentukan sikap memerlukan pengulangan dan penghayatan. Jika murid diajar Matematik dan Bahasa Melayu secara berterusan, nilai hormat, empati dan keberanian menolak buli juga perlu dipupuk secara konsisten.

Setiap minggu, guru boleh membawa situasi mudah untuk dibincangkan, termasuk tindakan apabila melihat rakan diejek beramai-ramai, perbezaan antara gurauan dengan buli, cara mendapatkan bantuan serta tanggungjawab seorang saksi.

Dalam usaha menangani buli, perhatian tidak seharusnya hanya diberikan kepada mangsa dan pelaku. Saksi juga memainkan peranan penting. Ada murid yang memilih untuk berdiam diri kerana takut menjadi sasaran. Mereka perlu diberi kefahaman melaporkan kejadian bukan bermaksud menjadi pengadu, sebaliknya usaha melindungi rakan.

Pada masa sama, sekolah perlu menyediakan saluran aduan yang mudah, sulit dan diyakini. Murid tidak akan tampil jika bimbang identiti mereka diketahui atau tindakan yang dibuat tidak membawa penyelesaian.

Pendekatan One Ten juga boleh dipertimbangkan, iaitu seorang guru membimbing kumpulan kecil sekitar 10 murid. Guru berkenaan menjadi individu yang dikenali dan dipercayai, bukan sebagai penyiasat tetapi tempat murid mendapatkan perhatian dan bantuan.

Pertemuan ringkas secara berkala boleh membuka ruang mengenal pasti perubahan tingkah laku, masalah hubungan sesama rakan atau perkara yang menyebabkan seseorang berasa tidak selamat.

Murid yang tiba-tiba menjadi pendiam, takut ke sekolah, sering kehilangan barang atau menjauhkan diri daripada rakan mungkin dapat dikenal pasti lebih awal. Hubungan manusia seperti ini tidak mampu digantikan oleh kamera.

CCTV tetap penting dan wajar ditempatkan secara strategik berdasarkan keperluan keselamatan serta mengambil kira privasi murid. Namun, teknologi itu perlu menjadi sebahagian daripada sistem yang lebih menyeluruh.

Kita memerlukan teknologi untuk membantu pemantauan, sistem sekolah yang memastikan aduan dan tindakan susulan berjalan dengan baik serta pendidikan yang membentuk pemikiran dan tingkah laku.

Matlamat akhirnya bukan melahirkan murid yang tidak membuli kerana takut dirakam kamera. Kita mahu mereka memahami perbuatan tersebut salah dan menyakiti orang lain walaupun tiada sesiapa yang memerhati.

Pendidikan antibuli juga tidak boleh bermusim. Kandungan ringkas seperti buli fizikal, lisan, sosial dan siber, empati, pengurusan kemarahan, adab berkomunikasi serta cara meminta pertolongan perlu disampaikan sepanjang tahun. 

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan supaya nilai yang diterapkan di sekolah turut diamalkan di rumah.

Kita tidak boleh sekadar menunggu kejadian, meneliti rakaman, mengenal pasti pelaku dan mengambil tindakan. Pendekatan pencegahan perlu bermula sebelum masalah berlaku.

CCTV membantu melihat apa yang telah berlaku. Pendidikan pula membantu mencegah apa yang belum berlaku.

Justeru, pendidikan antibuli wajar dijadikan amalan mingguan yang ringkas tetapi konsisten, disokong sistem mentor seperti One Ten dan saluran aduan yang selamat.

Kita mahu sekolah menjadi tempat yang selamat bukan semata-mata kerana setiap sudut diawasi kamera tetapi kerana setiap warga sekolah memahami bahawa buli bukan budaya kita. –UTUSAN

AZLIZA AZIZUL
Parit Sulong, Batu Pahat
Johor

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini