PUTRAJAYA 27 Mac – Penerimaan penuh 5G hanya akan dapat direalisasikan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Sehubungan itu Ketua Pegawai Sektor Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Gerard K. M. Lim berkata, adalah penting bagi rangkaian 4G semasa dipertingkat serta dioptimumkan untuk menangani masalah kesesakan dan menguruskan isu lebar jalur.
“Rangkaian 4G semasa Malaysia berhadapan dengan masalah ‘throughput’ yang rendah iaitu 9 megabit sesaat (Mbps) ataupun 36 peratus di bawah purata untuk tempoh-tempoh tertentu. Keadaan tersebut berpunca daripada kesesakan antara elemen-elemen rangkaian seperti antara muka radio (radio interface) dan rangkaian teras.
“Ini adalah kesan daripada seni bina rangkaian end-to-end yang mempunyai hanya 40 peratus gentian optik di base transceiver stations (BTS). Mutakhir ini, purata kelajuan muat turun 4G di Malaysia adalah 21.1 Mbps,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Untuk rekod, pada bulan November lalu, SKMM telah mengumumkan kerjasama 5G dan mewujudkan sebuah pasukan petugas 5G bagi meneroka kegunaan-kegunaan dan mod 5G yang praktikal dan juga untuk mengkaji serta menyelaraskan dasar-dasar, peraturan dan perancangan spektrum 5G.
Jelas Gerard, teknologi 5G menjanjikan 1 gigabit sesaat (Gbps) untuk setiap pengguna dan jika kerja-kerja penaiktarafan rangkaian teras tidak diberi perhatian, maka masalah ‘throughput’ yang sedang melanda negara akan terus berlaku.
“Lantaran itu, pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi mesti merancang bagi memastikan capaian 4G sedia ada dioptimumkan dan pada masa yang sama, membuat persiapan ke arah keperluan 5G,” katanya.
Matlamat utama akhirnya jelas beliau, adalah untuk memastikan pengguna menikmati pengalaman yang positif tanpa dibelenggu dengan sebarang isu kesesakan.
“Matlamat itu juga adalah selaras dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang menyediakan rakyat dengan kesalinghubungan digital yang kukuh, menyeluruh dan berkualiti tinggi tatkala negara melangkah ke fasa kemajuan teknologi yang seterusnya,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE











