ARAU 3 Mac – Nikmat perpaduan antara Pas dan UMNO sudah mula dapat dirasai dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semalam.
Memuatkan artikel berkaitan…

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, sebelum itu, kerjasama tersebut telah membawa kejayaan di Parlimen Cameron Highlands seterusnya dijangka berterusan sehingga PRK Rantau selepas ini.
“Diharapkan kita tidak lupa diri dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah ini. Teruskan agenda Islam dan Melayu yang menjadi teras kepada perjuangan.
“Perjalanan masih jauh dan kita perlu meraikan kelemahan rakan serta menghormati kelebihan demi Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, Pas dan UMNO tidak pernah berputus asa meskipun diserang daripada pelbagai sudut yang akhirnya kemenangan menjadi milik BN di Semenyih.

Katanya, kemenangan BN merupakan satu manifestasi kebangkitan rakyat khususnya majoriti umat Melayu Islam yang tidak rela melihat kepentingan agama dipermainkan.
“Kami berganding bahu (UMNO dan Pas) rela berpanas, sanggup berdepan apa jua cabaran demi menegakkan yang hak dan menidakkan yang batil. Kami beristiqamah, terus berusaha, sabar, berdoa dan berserah kepada Allah untuk menentukan hasil perjuangan kami.
“Alhamdulillah, lebih 10,000 undi yang dulunya memihak kepada Pakatan Harapan (PH) namun kini meyakini perjuangan BN dan Pas. Rakyat Semenyih seolah menyuarakan isi hati rakyat di seluruh negara.
“Terima kasih tidak terhingga kepada seluruh warga BN dan Pas yang memberi sokongan padu. Atas nama Islam, kita eratkan lagi ukhuwah dan perjuangan bersama. Dengan izin Allah, kita akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang jauh lebih baik berbanding sekarang,” katanya.- UTUSAN ONLINE











