Nikah di Thailand meningkat - Utusan Malaysia

Nikah di Thailand meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 3 Mac – Kes pasangan dari Kedah yang berkahwin tanpa kebenaran di Thailand dilihat semakin membimbangkan apabila sebanyak 799 kes dica­tatkan tahun lalu, meningkat 233 daripada 566 kes pada 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Ke­sihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, jumlah itu merangkumi kesa­lahan pernikahan tanpa kebenaran dan berpoligami tanpa kebenaran yang direkodkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri ini.

DR. ISMAIL SALLEH
DR. ISMAIL SALLEH 

“Kesalahan nikah di Thailand ini terbahagi kepada pernikahan tanpa kebenaran seperti nikah di sana (Thailand) sebab keluarga menghalang iaitu ke­salahan di bawah Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah) 2008 dan poligami tanpa kebenaran yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 124 enakmen sama.

“Sebanyak 502 kes pernikahan tanpa kebenaran dan 297 kes poligami tanpa kebenaran dicatatkan tahun lepas manakala 406 kes pernikahan tanpa kebenaran de­ngan 160 kes poli­gami tanpa kebenaran pula direkodkan berlaku tahun sebe­lumnya,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Katanya, berdasarkan statistik tahun lalu, pasangan dari daerah Kota Setar mencatatkan jumlah tertinggi yang melakukan kesalahan itu dengan 118 kes diikuti Langkawi (116), kubang Pasu (110) dan Pendang (44 kes).

Dr. Ismail berkata, beliau percaya masih ramai pasangan dari negeri ini yang berkahwin di negara jiran tidak mendaf­tarkan perkahwinan mereka di pejabat agama Islam di sini dan keada­an itu amat membimbangkan kerana akan memberi im­plikasi terhadap hak isteri dan urusan pendaftaran anak.

Bagi menangani masalah itu, beliau berkata, kerajaan ne­geri telah mengambil inisiatif melaksanakan kempen Jom Daftar Nikah mulai 1 Mac lalu yang bertujuan menggalakkan pasangan yang belum mendaftar perkahwinan mereka untuk berbuat demikian.

Katanya, menerusi kempen itu pejabat agama Islam negeri akan menjadi pemudah cara termasuk membantu menyediakan segala urusan dokumentasi untuk pasangan tersebut mendaf­tarkan pernikahan mereka.

“Kempen ini merupakan ha­sil kesinambungan program Mai Daftar Nikah 2018 daripada kerajaan negeri terdahulu, tetapi ditambah baik lagi dalam kempen yang kerajaan negeri sekarang buat kerana program dahulu dilihat tidak berjaya,” katanya.

Bagaimanapun, Dr. Ismail berkata, pasangan terbabit tetap dikenakan denda yang akan ditentukan oleh Hakim Mahkamah Syariah berdasarkan kesalahan dilakukan.

“Saya jamin jumlah denda itu nanti tidak akan membebankan pasangan yang mendaftarkan pernikahan menerusi kempen ini dan saya pun sudah jumpa dengan pihak Bahagian Keluarga Islam dan Yang Arif Datuk Mahkamah Syariah, ke­dua-dua (pihak) setuju dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk kempen Jom Daftar Nikah ini,” katanya. ­
– BERNAMA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN