PUTRAJAYA – Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, 60, dilantik sebagai Ketua Audit Negara untuk tempoh dua tahun mulai 23 Februari lalu hingga 22 Februari 2021.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar berkata, pelantikan Nik Azman adalah sebagai menggantikan Tan Sri Madinah Mohamad yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 22 Februari lepas.
Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelantikan Nik Azman sebagai Ketua Audit Negara berdasarkan Fasal (1) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan.
“Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ismail berkata, Nik Azman pernah berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi, Bank Dunia Washington D.C., Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri.
“Azman mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi dan kewangan,” katanya.
Sementara itu, Ismail turut merakamkan penghargaan kerajaan terhadap Madinah atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Audit Negara. – K! ONLINE











