KAHERAH 14 Mac – Semua pemandu bas, kereta api dan penuntut universiti di negara ini diwajibkan menjalani ujian dadah susulan nahas kereta api yang mengorbankan berpuluh-puluh orang dekat sini bulan lalu.
Arab News melaporkan, hampir 30 pemandu bas sekolah ditahan selepas didapati positif dadah.
Seramai 25 terbunuh dalam nahas di Stesen Kereta Api Ramses dekat sini selepas sebuah tren melanggar platform dan terbakar.
Pemandu kereta api tersebut didapati penagih dadah.
Pengarah Yayasan Rawatan dan Kawalan Dadah Mesir, Amr Osman berkata, daripada 5,000 kakitangan kereta api yang menjalani ujian, kebanyakannya positif dadag.
Jelasnya, jumlah sebenar akan diumumkan dalam masa terdekat.
Susulan itu, Kementerian Perpaduan Sosial telah membentuk Jawatankuasa Perubatan bagi melakukan ujian terhadap 1,500 pemandu bas sekolah di Kaherah, Giza, Sharqeya, Gharbeya dan Daqahleya.
Mereka yang didapati positif dadah akan dirujuk kepada pihak pendakwaan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Khaled Abdel-Ghaffar pula berkata, pihak kementerian juga akan melakukan ujian sama melibatkan penuntut universiti.











