SETIU – Nasib peniaga asal di Pasar Besar Kedai Payang atau Pasar Payang akan terus terbela dan diberi keutamaan apabila bangunan baharu siap kelak, dua tahun lagi, kata Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini.
Beliau berjanji kerajaan negeri tidak akan melakukan perubahan begitu sahaja tanpa persediaan malah peniaga akan ditempatkan di bangunan sementara yang tidak jauh dari lokasi asal.
“Bukan kita robohkan sebegitu (sewenang-wenangnya). Tapak Pasar Payang itu akan kekal. Apa yang penting kita ingin memberi nafas baharu yang berperanan bukan sekadar jual beli tetapi memaparkan unsur-unsur budaya dan tradisi serta jati diri rakyat Terengganu.
“Katakanlah mereka ini (peniaga) ada 100 orang…mereka ini jugalah yang akan berniaga di tempat sementara dan apabila siap Pasar Payang nanti mereka akan berniaga di situ semula. Nama mereka ini tidak akan dibuang daripada senarai peniaga asal pasar tersebut,” katanya.
Beliau mengulas isu Pasar Payang yang akan dirobohkan dan telah dibangkitkan oleh Bernama hari ini kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Concours de Raid D’Endurance International (CEI) sempena Piala Menteri Besar Terengganu di International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong di sini. – Bernama









