Musim candat sotong undang lebih banyak pencerobohan nelayan Vietnam - Utusan Malaysia

Musim candat sotong undang lebih banyak pencerobohan nelayan Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 3 Mac – Lebih banyak nelayan asing khususnya Vietnam dijangka menceroboh perairan Terengganu, Pahang dan Kelantan seterusnya mengaut seberapa banyak tangkapan terutama sotong untuk dibawa pulang ke negara mereka.

Apatah lagi, musim mencandat sotong bakal menyusul yang bermula Mac hingga Jun depan selain berakhir musim tengkujuh atau monsun  Timur Laut.
 
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata, pihaknya menjangkakan lebih banyak pencerobohan berikutan penahanan dua buah bot nelayan Vietnam bersama 13 orang nelayan berumur 14 hingga 54 tahun pagi semalam.
 
Beliau memberitahu, kesemua nelayan Vietnam itu termasuk dua tekong ditahan kerana tidak mempunyai permit yang sah untuk menangkap ikan di perairan negara.
 
Tambah beliau, kedua-dua buah bot tersebut ditahan pada jarak 70 batu nautika dari Kuala Kemaman kira-kira pukul 8.30 dan 9.15 pagi bersama hasil tangkapan sotong jarum seberat 40 kilogram dan peralatan menangkap sotong di atas dua bot terbabit.
 
“Musim mencandat sotong adalah satu musim yang dinanti-nanti nelayan asing ini  kerana banyak sotong berkualiti tinggi berada di perairan pantai timur sepanjang tiga bulan ini dan kita percaya bot yang ditahan baru sahaja tiba di perairan negara berdasarkan hasil tangkapan mereka yang sedikit,” katanya.
 
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita dalam sidang media mengenai penangkapan tersebut di Pengkalan Maritim Kemaman di sini, hari ini.
 
Jelasnya, harga sekilogram sotong di pasaran luar negara mencecah RM100 hingga RM300  dan ia menjadi tarikan utama nelayan asing khususnya Vietnam kerap menceroboh perairan negara untuk melakukan aktiviti tersebut.
 
“Nelayan Vietnam ini akan memasarkan hasil tangkapan ini kepada negara China dan Taiwan kerana ianya mendapat permintaan tinggi daripada pembeli di sana dan ini menyebabkan mereka tidak serik untuk memasuki perairan negara meskipun beberapa kali pernah ditangkap sebelum ini, ” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN