MPV kemalangan:1 murid tahfiz maut, 9 cedera parah - Utusan Malaysia

MPV kemalangan:1 murid tahfiz maut, 9 cedera parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI 2 Mac – Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova yang membawa 10 individu termasuk guru dan murid Madrasah Tahfiz Ar Rayyan Bandar Tenggara, Kota Tinggi, terbabas sebelum berpusing dan terbalik di KM 18.2 Lebuhraya Utara Selatan di sini petang semalam.

Dalam kejadian pada 1.35 petang itu, seorang murid tahfiz, Amirul Hakimi berusia 11 tahun maut manakala sembilan yang lain cedera parah dipercayai tercampak ke jalan raya selepas kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan disebabkan tayar pecah.

Mereka yang menaiki kenderaan itu terdiri daripada dua guru dan empat murid tahfiz termasuk seorang yang maut manakala empat lagi merupakan orang awam yang menumpang kenderaan tersebut untuk ke Johor Bahru.

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan, ada antara mereka dipercayai dalam perjalanan menghadiri Himpunan Rakyat Jangan Hina Nabi Muhammad SAW di Bandar Baru Uda di Johor Bahru tengahari semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova yang dari arah utara ke selatan dinaiki mangsa pecah.

“Ekoran daripada itu menyebabkan kenderaan yang dipandu seorang lelaki itu hilang kawalan seterusnya terbabas melanggar besi tengah pembahagi jalan sebelum berpusing dan terbalik di lorong kecemasan arah yang sama. 

“Mangsa yang berada di dalam kenderaan tersebut telah tercampak ke jalan raya, seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia manakala yang lain mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Tambahnya, semasa pihaknya sampai ke lokasi kejadian, kanak-kanak yang maut itu ditemukan di tengah pembahagi jalan dan MPV terbabit berada dalam keadaan terbalik di lorong kecemasan jalan menghala ke Johor Bahru.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia di bawa ke Hospital Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim di Kulai manakala yang cedera pula dihantar ke hospital sama dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

Beng Yeow memberitahu, ke semua identiti mangsa yang terlibat tidak diperolehi dan siasatan di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang dokumen mangsa, pihaknya sedang mendapatkan maklumat daripada madrasah berkenaan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini