KUALA LUMPUR 5 Mac – “Datanglah, datanglah. Jangan begitu, datanglah.”
Demikian reaksi Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung kenyataan bersama MCA dan MIC hari ini yang hanya akan menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang sah, Jumaat ini.
Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, beliau tiada masalah untuk berhadapan dengan dua parti komponen BN itu dan menegaskan akan menghadiri mesyuarat dijadualkan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
“Kalau tak sah tiada masalah, saya berhentilah. Ia mesti ikut undang-undang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Menara Dato’ Onn PWTC, di sini hari ini.
MCA dan MIC menegaskan hanya akan menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang sah bagi mengelakkan sebarang pertikaian undang-undang.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan secara bersama, kepemimpinan dua komponen BN menjelaskan, mesyuarat bersama MCA dan MIC semalam telah membuat ketetapan bahawa pelantikan Mohamed Nazri sebagai Setiausaha Agung BN adalah tidak mengikut Perlembagaan parti itu. – UTUSAN ONLINE










