MH370: Kerajaan sedia terima cadangan - Utusan Malaysia

MH370: Kerajaan sedia terima cadangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Mac – Kerajaan bersedia menerima cadangan daripada mana-mana syarikat berkredibiliti termasuklah Ocean Infinity untuk mengetuai pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dilaporkan hilang secara misteri pada tahun 2014.

Memuatkan artikel berkaitan…
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan untuk meneruskan semula proses pencarian pesawat itu akan diteliti pihaknya.
 
“Ocean Infinity perlu mengemukakan dahulu cadangan kerana terdapat teknologi baharu yang dikatakan mampu digunakan untuk mencari pesawat tersebut.
 
“Setakat ini kerajaan masih lagi belum menerima cadangan daripada mana-mana syarikat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Hari Peringatan Tahunan MH370 di sini hari ini.
 
Hari peringatan tersebut yang disertai waris-waris mangsa pesawat MH370 itu diadakan bertujuan menyedarkan masyarakat dunia bahawa pencarian MH370 perlu diteruskan.
 
Kerajaan pada Mei lalu menghentikan operasi selepas pencarian selama tiga bulan yang dijalankan oleh Ocean Infinity, sebuah frima Amerika Syarikat, di kawasan seluas 112,000 km persegi di Lautan Hindi menemui jalan buntu.
 
Wakil Kumpulan Keluarga Penumpang dan Anak Kapal Pesawat MH370, Grace Nathan berkata, pihaknya mahu kerajaan sentiasa proaktif bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang berpotensi untuk membantu dalam mencari pesawat tersebut.
 
“Ini bagi menjawab segala persoalan bagaimana dan di mana pesawat tersebut hilang sejak lima tahun yang lalu,” katanya ketika berucap dalam program peringatan tersebut.
 
Salah seorang waris, Norazlinda Ayub juga menzahirkan hasrat serupa supaya kerajaan menyambung semula pencarian MH370.
 
“Ini kerana terdapat beberapa syarikat yang berminat untuk membantu dalam mencari pesawat yang hilang itu. Kami waris-waris masih turut serta dalam program sebegini supaya kami tidak dilupakan dengan harapan kerajaan masih mahu menyambung semula pencarian,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN