HARI ini, Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Ke-14 disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ke sesi Parlimen ini selaras dengan Perkara 32, Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan peranan penting Seri Paduka sebagai Ketua Negara dalam konsep Raja Berperlembagaan.
Ia juga mencipta sejarah buat Seri Paduka yang baru saja diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari lalu dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-251 (Khas) di Istana Negara.
Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen kali ini akan berlangsung selama 20 hari bermula 11 Mac sehingga 11 April ini. Mesyuarat dimulakan dengan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama dua minggu.
Parlimen adalah institusi penting dalam sistem demokrasi, selain badan eksekutif dan kehakiman. Parlimen bertanggungjawab untuk menggubal undang-undang, selain meminda dan memansuhkan undang-undang. Sudah tentu ahli Parlimen mempunyai tugas besar dalam memperjuang suara rakyat dan memperhalusi isu yang diperdebatkan sebelum ia diangkat sebagai undang-undang.
Parlimen juga berperanan mengawasi dan memeriksa Kerajaan Persekutuan. Justeru usaha reformasi peranan Parlimen sangat kritikal bagi menjayakan konsep semak dan imbang kepada kerajaan memerintah. Dalam hal ini, enam Jawatankuasa Pilihan Raya Khas Parlimen ditubuhkan melibatkan bajet, hubungan antara negeri-negeri dan Persekutuan, menimbang rang undang-undang, pertahanan dan hal ehwal dalam negeri, pelantikan jawatan-jawatan utama perkhidmatan awam serta hak asasi dan kesaksamaan gender.
Selain parti kerajaan, pembangkang turut dilantik dalam jawatankuasa ini antaranya Ahli Parlimen Rembau, Padang Terap, Pengerang, Bera, Kuala Kangsar, Kota Bharu, Kubang Kerian dan Rantau Panjang. Pelantikan ini sangat tepat bagi memastikan jawatankuasa mengambil kira pandangan semua pihak.
Jika diamati lebih mendalam usaha reformasi ini turut memperkukuh doktrin pengasingan kuasa apabila peranan Parlimen yang diperkasa itu dapat mengupayakan keberkesanan badan perundangan dalam menyokong demokrasi di negara ini. Maka tidak benar jika ada dakwaan mengatakan badan eksekutif atau kehakiman boleh mencampuri peranan dan mengatasi kuasa badan perundangan.
Sesi Parlimen kali ini turut menarik perhatian ramai apabila sembilan bekas ahli Parlimen UMNO memasuki Dewan Rakyat sebagai ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Mereka adalah ahli Parlimen Bagan Serai, Masjid Tanah, Jeli, Tanah Merah, Hulu Terengganu, Tasek Gelugor, Larut, Sabak Bernam dan Mersing.
KERUSI BERSATU
Perkembangan ini memperlihat penambahan kerusi Parlimen oleh Bersatu yang sangat ketara iaitu daripada hanya 13 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 kepada 22 kerusi kini. Walau bagaimanapun, jumlah ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan PKR dengan 50 kerusi, DAP 42 kerusi dan UMNO 38 kerusi.
UMNO dilihat satu-satunya parti politik yang mengalami kemerosotan kerusi Parlimen secara mendadak apabila 16 ahli Parlimen mereka meninggalkan parti. Namun suara UMNO sebagai parti pembangkang khususnya menjaga kepentingan Melayu dan Islam akan dibantu oleh Pas, hasil kerjasama politik antara mereka. Pas kekal dengan 18 kerusi Parlimen manakala saingannya Parti Amanah Negara (Amanah) hanya 11 perwakilan.
HANGAT
Kerjasama UMNO-Pas dijangka menghangatkan perbahasan Parlimen terutama soal melibatkan kepentingan orang Melayu dan Islam. Lebih-lebih lagi, perkembangan mutakhir ini menyaksikan banyak isu menyentuh soal agama Islam dan kepentingan Melayu diketengahkan dalam era Malaysia Baharu. Pelantikan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid diharap dapat memperkuat peranan blok pembangkang di Parlimen bagi penggal ini.
Prestasi sembilan ahli Parlimen baharu Bersatu pastinya akan disorot secara istimewa apabila mereka kini membawa aspirasi parti pemerintah, bukan lagi pembangkang. Pengalaman mereka dalam kerajaan terdahulu boleh dimanfaatkan untuk perbahasan yang lebih bermutu.
Lebih-lebih lagi, terdapat beberapa rang undang-undang yang penting dan dilihat dekat di hati rakyat bakal dibahaskan, antaranya bagi menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dan Rang Undang-undang Profesion Guaman Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Akhirnya, rakyat sudah tentu mahu kualiti perbahasan Parlimen oleh wakil mereka dapat dipertingkat dari semasa ke semasa. Sama ada ahli Parlimen dari parti pemerintah mahupun pembangkang, mereka perlu mempamer kualiti penghujahan yang baik, berasaskan fakta dan melihat kepentingan rakyat serta negara mengatasi kepentingan politik masing-masing.
Adalah diharap sidang perbahasan kali ini membawa inspirasi baharu, watak, sikap dan nilai yang tinggi selari dengan ketinggian institusi Parlimen. Pastinya, kita tidak mahu lagi melihat masih adanya ahli Parlimen gagal hadir atau diperintah keluar dewan sewenang-wenangnya kerana tidak mematuhi peraturan mesyuarat. Perlu diingat, prestasi ahli Parlimen akan sentiasa diperhati bukan sahaja oleh parti tetapi rakyat selaku pengundi.
DATUK MOHD NIZAR SUDIN
Penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.











