Majikan diharap guna pakai dasar gaji minimum graduan RM2,500 - Utusan Malaysia

Majikan diharap guna pakai dasar gaji minimum graduan RM2,500

ZAMBRY Abd. Kadir (tiga dari kiri) menyerahkan replika Bantuan Pendidikan Bersasar kepada penerima dalam program di Lumut, Perak hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Majikan diharap menyokong dasar kerajaan untuk memperkenalkan gaji minimum graduan RM2,500 sebulan sebagai permulaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengharapkan dasar itu nanti diguna pakai oleh majikan seperti mana pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat lalu.

“Pelarasan itu dibuat secara menyeluruh seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri. Itu adalah dasar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dasar yang telah diumumkan. Saya harap diguna pakai oleh pihak majikan,” katanya selepas program Bantuan Pendidikan Bersasar Institut Pendidikan Tinggi di sini hari ini.

Semasa pembentangan Belanjawan 2027, Anwar berkata, kadar gaji minimum hanya menaikkan lantai pendapatan pekerja, sedangkan upah pekerja mahir masih tidak setimpal dengan tahap
kelayakan.

Oleh itu tambahnya, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum bagi pekerjaan separa mahir dan graduan pada RM2,500 sebulan sebagai permulaan.

Sementara itu, Zambry gembira apabila kementeriannya menerima pertambahan peruntukan dalam Belanjawan 2027 sebanyak RM19.1 bilion, meningkat RM500 juta berbanding RM18.6 bilion pada 2026.

“Ini meliputi keperluan untuk membaik pulih bangunan dan tempat penginapan serta perkara lain yang sangat diperlukan oleh pendidikan tinggi,” katanya.

Mengenai usaha penggantian Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang turut diumumkan oleh Anwar, Zambry berkata usaha itu akan mengambil masa terutama bagi menyelaras peruntukan dan peraturan setiap universiti yang berbeza.

Namun katanya, sekatan terhadap soal akademik dan hak-hak mahasiswa termasuk prosiding tatatertib di universiti awam berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam telah dihentikan.

Jelasnya, penggantian AUKU akan dilaksanakan secara berfasa oleh kerajaan menerusi rang undang-undang baharu atau disebut Akta Satu Pendidikan Tinggi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini