Jerebu: Indonesia belum beri maklum balas tawaran Malaysia - Utusan Malaysia

Jerebu: Indonesia belum beri maklum balas tawaran Malaysia

AHMAD Zahid Hamidi melawat pameran pada Majlis Peluncuran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Indonesia masih belum memberikan maklum balas berhubung tawaran Malaysia untuk menyalurkan bantuan aset bagi memadam kebakaran di negara itu yang menjadi punca jerebu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia, beliau mewakili kerajaan Malaysia menawarkan bantuan berupa sebuah pesawat, tiga helikopter dan 55 anggota bagi membantu memadam kebakaran hutan di republik itu.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini pihak Indonesia masih belum memberikan sebarang keputusan berhubung tawaran bantuan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sendiri telah bertemu dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka untuk menawarkan bantuan dan setakat ini tiada lagi respon.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Luar juga telah menulis surat kepada rakan sejawat masing-masing sebelum ini dan ia masih belum ada jawapan.

“Jadi, kita bersangka baik yang mungkin mereka tidak memerlukan bantuan kita. Saya bersangka baik, husnuzon,” katanya ketika bercakap dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim.

Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan perundangan yang mungkin diambil berhubung isu jerebu, beliau yang juga Pengerusi Nadma berkata, perkara itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti sekiranya perlu.

“Perkara itu kita serahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diteliti sekiranya perlu, namun penyelarasan dalam kalangan negara ASEAN bagi mencegah masalah berkenaan adalah lebih baik.

“Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Itu lebih baik atas semangat ASEAN daripada tindakan perundangan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini