Menteri Sabah meninggal dunia - Utusan Malaysia

Menteri Sabah meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia pagi semalam di Hospital Queen Elizabeth 1 di sini akibat serangan jantung.

Ahli Parlimen Sandakan selama dua penggal dan juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri lantikan berusia 64 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di samping isteri dan anak kira-kira pukul 10.40 pagi.

Mendiang sebelum itu dimasukkan ke hospital ber­kenaan selepas mengadu sakit dada ketika menyertai aktiviti mendaki bukit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mendiang memulakan pendakian kira-kira pukul 6.30 pagi tadi bersama sekumpulan pendaki di Tambaig Adventure Park, Kampung Duvanson, Putatan.

Wong yang juga Pengerusi DAP Negeri­ dilantik sebagai Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat pada Mei tahun lalu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut berada di hospital untuk memberikan sokongan moral kepada keluarga mendiang sebaik me­nerima berita itu.

Menurut Mohd. Shafie, mendiang merupakan rakan lamanya dalam perjuangan politik terutama ketika me­nubuhkan kerajaan negeri Sabah.

“Hari ini (semalam) kita kehilangan seorang rakan, seorang sahabat, seorang menteri yang berjiwa rakyat yang rajin bekerja tanpa mengenal hari dan waktu.

“Kita amat bersimpati dengan keluarga men­diang,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Queen ­Elizabeth 1 di sini, hari ini.

Mohd. Shafie berkata, beliau dimaklumkan bahawa sebelum meninggal dunia mendiang pada sebelah pagi menyertai acara mendaki bukit sebelum mengadu sakit dada.

“Selepas itu mendiang dibawa ke hospital dan kena serangan jantung. Saya tidak tahu sama ada sebelum ini beliau ada rekod (sakit jantung) sebelum ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, mendiang mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan selepas menewaskan calon LDP, Lim Ming Hoo dengan majoriti 10,098 undi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini