KUALA LUMPUR 14 Mac – Mantan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Yusop Hamzah yang baru-baru ini dianugerahkan Pingat Kebesaran jabatan itu meninggal dunia pada pukul 4.35 petang tadi di kediaman cucunya di Taman Setapak, di sini.
Menurut cucunya, Tengku Ahmad Faizal Tengku Zainal, datuknya yang menghidap kanser tahap empat meninggal dunia pada usia 86 tahun.
“Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota Kiri, Setapak, di sini pada pukul 10 pagi esok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 6 Mac lalu, Allahyarham yang pernah berkhidmat selama 31 tahun iaitu sejak era penjajahan British sebelum penyatuan bomba sehinggalah kepada penyatuan pada 1976 itu dianugerahkan Bintang Jasa Bomba.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid.
Allahyarham meninggalkan empat anak lelaki dan empat anak perempuan serta 27 cucu dan 17 cicit.-UTUSAN ONLINE











