JOHOR BAHRU 3 Mac – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih semalam memberikan tamparan yang hebat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkembangan itu menunjukkan bahawa PH sedang menghadapi defisit kepercayaan yang sangat ketara dalam kalangan orang Melayu.
“Ini bermakna bukan sahaja sokongan Melayu kepada BN menokok tetapi peratusan sokongan terhadap PH pula menyusut dari 44.3 peratus kepada 37.7 peratus. Angka ini adalah besar.

“Selain itu, ini merupakan petunjuk jelas bahawa kerajaan PH tidak banyak mempedulikan orang Melayu Islam selain menyaksikan kebangkitan yang jelas pengaruh politik Melayu Islam, sekali gus akan menjadi faktor dominan walau bagaimana berubah pun landskap politik negara.
“Pengaruh politik Islam semakin terserlah hasil kerjasama erat antara UMNO dan Pas, kedua-dua parti komited menjayakan sinergi politik itu biarpun Tun Dr. Mahathir Mohamad berusaha menggagalkan kerjasama strategik mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas bekas Menteri Besar itu, orang Melayu menghantar mesej yang jelas bahawa tanpa sokongan orang Cina dan India sekali pun, Melayu masih boleh meraih kemenangan jika mereka mempunyai kesatuan matlamat.
Maka, katanya, adalah sangat penting untuk semua pihak tidak mengambil mudah politik Melayu Islam kerana perkara tersebut akan terus menjadi aspek dominan dalam landskap politik Malaysia.
Menerusi kemenangan di Semenyih itu juga, katanya, kaum Cina dan India harus memahami naratif Melayu Islam itu adalah karakter politik Malaysia yang tidak boleh mereka ubah dan buang.
Tambahnya, apabila orang Melayu memilih untuk bersatu dengan matlamat yang jelas, sokongan bangsa Cina dan India tidak lagi menjadi penentu, mereka tidak mempunyai pilihan kecuali mencari jalan bekerjasama dengan parti politik Melayu yang dominan.
“Semenyih adalah referendum yang jelas bahawa Bersatu tidak boleh menggantikan UMNO dan Pas sebagai wadah perjuangan politik bangsa Melayu kerana gagal meyakinkan bahawa mereka jurucakap dan gagal mewakili kepentingan politik bangsa Melayu,” katanya.
“Strategi Bersatu mengukuhkan perwakilannya di Parlimen melalui penerimaan Ahli Parlimen UMNO yang melompat bukannya semakin mengukuhkan parti itu, sebaliknya, merencatkan moral dan wibawa Bersatu pada mata dan pandangan bangsa Melayu serta sekutu mereka yang lain terutamanya DAP,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, kemenangan itu juga menjelaskan bahawa Malaysia baharu yang dilakarkan kerajaan PH adalah kabur dan sukar diterima oleh orang Melayu, malah semua orang masih tertanya-tanya sehingga kini apa yang baharu sebenarnya.










