KUALA LUMPUR 4 MAC – MCA dan MIC mencadangkan supaya Barisan Nasional (BN) dibubarkan supaya kedua-dua parti itu boleh meneroka peluang pakatan politik baharu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama, kedua-dua parti itu menyatakan kekecewaannya dengan perkembangan semasa yang menyaksikan asas kesefahaman dalam BN tidak lagi dihormati.
“MCA dan MIC sebagai wakil kepada komuniti masing-masing menyedari bahawa perubahan yang membentuk BN hari ini telah ditolak oleh komuniti masing-masing, maka (MCA dan MIC) mencadangkan pembubaran atau penstrukturan semula untuk (BN) kembali kepada semangat dan tujuan asalnya.
“Sehubungan itu, MCA dan MIC tidak ada pilihan lain kecuali untuk meneruskan langkah meneroka pakatan baharu yang menggambarkan tujuan sebenar penyatuan dalam kepelbagaian dalam niat asalnya,” katanya.
Kenyataan tersebut ditandatangani Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran.
Selain itu, kenyataan tersebut turut mendakwa kenyataan ‘perkauman’ Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Nazri Aziz telah membuatkan hubungan antara parti dalam pakatan itu lebih keruh.
Nazri didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dalam satu ceramah sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, minggu lalu.
“Kenyataan berbaur perkauman oleh Datuk Seri Nazri dianggap datang dari UMNO dan tindakan UMNO yang berdiam diri telah meretakkan asas (prinsip) saling menghormati yang dipegang BN selama ini,” katanya.











