KUALA LUMPUR 9 Mac – Pelanggan di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini boleh melakukan semakan dan bayaran secara elektronik atau ePay@MBPJ bagi kesalahan di bawah perundangan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan itu.
MBPJ dalam kenyataan berkata, pihaknya telah melancarkan satu aplikasi pintar yang dinamakan sebagai ‘Smart PJ Enforcement’ bagi menarik pelanggannya untuk berurus niaga melalui telefon pintar.
“Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Play Store bagi pengguna telefon pintar jenis Android sahaja manakala pengguna telefon jenis iOS, sistem ini masih dalam proses.
“Melalui aplikasi ‘Smart PJ Enforcement’, tawaran khas kadar pengurangan kompaun yang dijelaskan ini akan mendapat tambahan diskaun sebanyak 10 peratus daripada kadar sedia ada,” katanya.
Tambahnya, MBPJ turut menawarkan kadar pengurangan kompaun bagi kesalahan-kesalahan lalu lintas yang dilakukan dalam tempoh 24 jam sebanyak RM10 sahaja.
Katanya, antara bentuk urusniaga yang disediakan melalui aplikasi tersebut antaranya semakan status kesalahan yang dilakukan orang kena kompaun (OKK), tawaran kahas kadar pengurangan kompaun dan capaian maklumat kesalahan. – UTUSAN ONLINE











