PETALING JAYA: Kerajaan menegaskan tiada wang pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) digunakan bagi membiayai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk 40,000 petugas masjid dan guru takmir di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pembiayaan caruman itu ditanggung sepenuhnya menerusi peruntukan khas kerajaan yang disalurkan melalui TH bagi tujuan pengurusan sahaja.
Menurutnya, sebarang dakwaan atau andaian bahawa wang simpanan pendeposit TH digunakan untuk membiayai inisiatif berkenaan adalah tidak benar dan bersifat spekulatif.
“Ingin ditegaskan secara nyata bahawa tiada dana pendeposit Tabung Haji (TH) yang digunakan bagi pembiayaan caruman ini.
“Peruntukan berkenaan adalah 100 peratus bersumberkan peruntukan khas kerajaan yang disalurkan melalui mekanisme TH semata-mata atas kapasiti pengurusan,” katanya dalam kenyataan.
Zulkifli berkata, langkah kerajaan menanggung sepenuhnya caruman Perkeso itu melibatkan imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir di seluruh negara.
Katanya, inisiatif berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan golongan terbabit dalam hal ehwal Islam, selain bertujuan menjamin kebajikan, perlindungan sosial dan kesejahteraan mereka.
Beliau berkata, kerajaan kekal komited memelihara integriti pengurusan amanah TH serta memastikan tadbir urus korporat yang telus berteraskan prinsip syariah.
“Usaha memartabatkan kebajikan para petugas masjid dan guru takmir ini akan terus dilaksanakan tanpa kompromi,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Seramai 40,000 petugas masjid dan tenaga pengajar agama di seluruh negara bakal menikmati perlindungan Perkeso menerusi Belanjawan 2027.-UTUSAN











