LANGKAWI – Seramai 64 anak-anak dari Rumah Nur Kasih di Ulu Melaka di sini diraikan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMP) dalam satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sabtu lalu.
Pegawai Perhubungan Awam MBI, Mohd. Syahrizal Azmi berkata, kunjungan di rumah kebajikan tersebut antara pengisian yang dirancang sempena program pihak berkuasa tempatan itu bersama media Perak di pulau lagenda, Pulau Langkawi.
“Dalam usaha menjalin hubungan baik dan mengeratkan persefahaman dua hala antara kedua-dua pihak, usaha membantu golongan kurang bernasib baik juga sama sekali tidak dilupakan.
“MBI bersama media Perak hadir meluangkan masa meraikan anak-anak di sini bagi menceriakan mereka sekali gus menyampaikan sumbangan daripada beberapa pihak,” katanya.
Tambah Mohd. Syahrizal, program tersebut merupakan kali pertama kedua-dua pihak mengadakan program seperti itu di luar Perak.
“Kita berharap aktiviti kebajikan seumpama ini tidak terhenti setakat ini malah dicadangkan diteruskan lagi pada masa akan datang sekiranya mendapat kerjasama dan tajaan pelbagai pihak,” katanya.
Pada program tersebut, sumbangan berupa wang tunai, makanan dan cenderahati diberikan kepada kanak-kanak di rumah kebajikan berkenaan yang disumbangkan oleh MBI, KSKMP, Pejabat Menteri Besar Perak, Syeun Hotel Ipoh, Tourism Perak dan Nadias Hotel Langkawi.
Sementara itu, Presiden KSKMP, Rosli Mansor Ahmad Razali berkata, aktiviti amal yang dilaksanakan di Rumah Nur Kasih itu merupakan kesinambungan kepada program-program kebajikan yang dilaksanakan media Perak melalui KSKMP sebelum ini.
Katanya, kunjungan tersebut yang disifatkan sebagai pembuka tirai yang baik bagi tahun ini akan diteruskan lagi sebagai tanda prihatin pengamal media terhadap golongan yang tidak bernasib baik.
“Kami menerima jemputan daripada MBI untuk adakan program kerjasama ini dan kami melihat ia sebagai peluang yang baik untuk KSKMP menjalankan aktiviti kebajikan bersama pihak berkuasa tempatan itu,” katanya.
Bagi Penyelia Rumah Nur Kasih, Norimah Md. Shariff, kehadiran rombongan itu telah memberi keceriaan kepada anak yatim dan asnaf yang rata-rata berusia antara tujuh hingga sembilan tahun.
“Terima kasih kepada MBI dan media Perak serta pihak lain yang menghulurkan sumbangan kepada kami. Kehadiran ke rumah ini sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada anak-anak ini,” katanya. – K! ONLINE










