MB kesal kerajaan jadi 'kambing hitam' dalam isu MMC - Utusan Malaysia

MB kesal kerajaan jadi ‘kambing hitam’ dalam isu MMC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 7 Mac – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini membidas MCA kerana gagal mengatasi masalah dihadapi Pusat Perubatan Mawar (MMC) di sini semasa parti itu sebahagian kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, beliau kesal kerana parti itu kini menuduh isu pusat perubatan swasta yang dibatalkan lesen oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini disebabkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya, adalah tidak wajar kerajaan negeri dan Pusat yang mengambil tindakan berasaskan undang-undang dijadikan ‘kambing hitam’ dalam isu tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sepatutnya MCA buat apa yang dicadangkan kepada kerajaan negeri itu dari dulu lagi. Kita tahu siapa yang ada dalam MMC itu sendiri.

“Jangan cari orang lain untuk dipersalahkan, sedangkan yang bersalah ketika mereka berkuasa tak selesaikan. Sekarang mereka serahkan kepada kita, ini tak adil,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan yang dikemukan MCA bagi mengatasi isu penarikan lesen MMC baru-baru ini yang menyebabkan pusat perubatan itu disita dan operasinya dihentikan pada 14 Februari lalu.

Kelmarin lebih 100 kakitangan MMC dari pelbagai unit membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja selepas tidak menerima gaji bulan Februari susulan penutupan pusat perubatan berkenaan.

Ditanya usaha kerajaan negeri bagi membantu kakitangan MMC, Aminuddin berkata, pihaknya akan menunggu arahan dan keputusan Kementerian Kesihatan dalam masa terdekat.

“Kita nak perbaiki kena beri masa. Kita kena buat kajian, dapatkan maklumat terlebih dulu. Kita tak mahu buat keputusan terburu-buru.

“Ia akan ambil sedikit masa mungkin seminggu atau lima hari. Kenapa lima hari (semasa kerajaan) sekarang terlalu lama. Dulu boleh tunggu berbulan dan bertahun, kenapa sekarang lima hari tak boleh tunggu,” soalnya.

Aminuddin turut meminta semua kakitangan pusat perubatan berkenaan bersabar dan yakin kerajaan akan membuat keputusan terbaik bagi menyelesaikan kemelut tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini