Mayat lelaki ditemukan dalam ladang sawit - Utusan Malaysia

Mayat lelaki ditemukan dalam ladang sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 6 Mac – Penduduk di Kampung Paya Rumput, Sungai Udang di sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam di sebuah ladang sawit di kampung itu di sini semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mayat Mohd. Fadzli Shariff, 38, ditemukan dalam keadaan terbaring dan masih berpakaian lengkap iaitu seluar panjang dan baju T lengan panjang kira-kira pukul 5 petang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 5.20 petang.

“Sepasukan polis yang menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian menemukan sepasang kasut getah, topi keledar dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 antara dua hingga lima meter dari kedudukan mayat tersebut.

“Selain itu, kita turut menemukan telefon bimbit dan dompet mengandungi kad pengenalan, kad bank serta wang tunai dalam poket seluar si mati,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Afzanizar, pemeriksaan pada tubuh si mati menemukan satu kesan luka baharu di bawah paha dan betis kaki kirinya.

“Bagaimanapun, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menjumpai sebarang objek atau senjata dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini