Mat rempit lakukan aksi berbahaya ditahan - Utusan Malaysia

Mat rempit lakukan aksi berbahaya ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 3 Mac – Sekumpulan mat rempit yang melakukan aksi berbahaya di atas jalan raya, ditahan dalam Op Samseng Jalanan Bersepadu yang dijalankan dekat Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara, awal pagi ini.

Memuatkan artikel berkaitan…
Operasi bermula pukul 11 malam semalam sehingga 5 pagi itu disertai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Unit Penguat kuasa Peronda Lebuh Raya (EMPV) serta dibantu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri.
 
Ketua JSPT negeri, Superintenden Zakaria Abd. Rahman berkata, sebanyak 12 remaja berusia antara 18 hingga 27 tahun ditahan dalam operasi tersebut selepas pihaknya melakukan pemerhatian teliti ke atas sekumpulan suspek berkenaan yang akhirnya berhenti di sekatan polis berhampiran susur keluar Tambun.
 
“Kami telah membuat pengecaman dan mengekori sekumpulan motosikal tersebut yang melakukan aksi tanpa putus dari pandangan. 
 
“Mereka melakukan aksi berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan (wheelie) serta menduga kelajuan dan menundukkan badan di mana perbuatan itu membahayakan diri sendiri termasuk pengguna jalan raya lain,” katanya di sini hari ini.
 
Zakaria berkata, pada masa sama, sebanyak 11 individu berusia dalam lingkungan 18 hingga 27 tahun turut ditahan selepas keseluruhan 57 individu menjalani saringan air kencing oleh AADK.
Menurut beliau, mereka yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan THC termasuk seorang gads berumur 23 tahun.
 
Tambah beliau, dalam operasi itu, sebanyak 14 buah motosikal juga telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala 136 lagi disaman atas pelbagai kesalahan. – UTUSAN ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN